Ugut tetak isteri

Ugut tetak isteri

LIMBANG, 11 Okt – Kerana cemburu, seorang lelaki tergamak mengugut untuk menetak isterinya menggunakan parang dalam pertengkaran yang berlaku di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian sekitar 1.30 petang itu, mangsa, 32, dari rumah panjang di Jalan Kubong dekat sini membuat laporan polis jam 1.39 petang sebaik menerima ugutan dari suaminya.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata kejadian dipercayai berlaku selepas suspek menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Suspek, 33, yang memegang sebilah parang mengugut untuk menetak mangsa jika dia dan anak-anaknya keluar rumah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Bukhori berkata lagi mangsa sempat melarikan diri dan membuat laporan polis.

“Anggota kita berjaya merampas sebilah parang berukuran 23 inci dan suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Limbang,” katanya lagi.

Kes terbabit katanya akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah). – Arissa