Uji corak permainan di Kota Kinabalu

Uji corak permainan di Kota Kinabalu

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Fadhil Yunos

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Seramai 15 pemain bola jaring kebangsaan negara kini berada di Kota Kinabalu Sabah bagi perlawanan persahabatan bagi persiapan Kejohanan Bola jaring Asia di Thailand yang dijadualkan bermula pada Ogos nanti.

Menurut Jurulatih Pasukan Bola Jaring Kebangsaan, Thilaka Jinadasa, 15 pemain ini terdiri daripada 12 pemain yang sudah disenaraikan untuk dimasukkan ke dalam skuad utama dan tiga pemain yang bertindak sebagai pelapis jika terdapat sebarang kecederaan.

“Lima belas pemain yang turut serta dalam perjalanan kali ini akan dilihat daripada aspek respons dan corak permainan sebelum menemukan mereka dengan pasukan sama ada dari Sri Lanka atau Maldives di dalam perlawanan persahabatan antarabangsa sedikit masa lagi,” ujar Thilaka.

Menurut Thilaka lagi, semua ini sebagai persiapan bagi acara besar yang bakal berlangsung pada 30 Julai sehingga 7 Ogos nanti dan kini kita perlu berhadapan dengan cabaran besar iaitu masa.

“Selepas Ramadan nanti pada 6 Julai kita ada tiga minggu untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan dan pengurusan masa merupakan cabaran utama bagi semua warga pasukan kebangsaan untuk cabaran di Thailand nanti,” tambah Thilaka lagi.

Pasukan Bola Jaring Kebangsaan sebelum bertolak ke Kota Kinabalu.
Pasukan Bola Jaring Kebangsaan sebelum bertolak ke Kota Kinabalu.

Ditanya mengenai perlawanan persahabatan antarabangsa, menurutnya setakat ini beliau dan persatuan masih dalam proses perundingan dengan pihak yang berkenaan untuk datang ke bumi Darussalam bagi tujuan perlawanan persahabatan.

“Kita sudah menyenaraikan 12 pemain utama dan sudah menamakan ketua pasukan serta penolongnya bagi penyertaan negara di Thailand awal Ogos 2016 nanti,” tegasnya lagi kepada media.

Sebelum bertolak dari Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas ke Kota Kinabalu hari ini, beliau mengharapkan semua pemain akan berada dalam keadaan sihat di sepanjang jelajah kali ini.

“Saya berharap tiada kecederaan akan berlaku dan inilah ujian perlawanan pertama kami meskipun sudah ada perlawanan persahabatan di Brunei namun ekoran corak permainanlah kami mengambil langkah ke Kota Kinabalu bagi mendapat corak permainan yang berbeza,” jelas Thilaka.

ARTIKEL YANG SAMA