Uji daya ketahanan di Cabaran Bukit Markucing

Uji daya ketahanan di Cabaran Bukit Markucing

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing sekali lagi mempelawa penggemar cabaran dan riadah untuk menyertai pertandingan uji daya tahan, Larian Cabaran Bukit Markucing yang akan diadakan pada 29 Mei 2016.

Berbeza dengan format cabaran tahun lalu, pertandingan yang dianjurkan buat kali ke-8 pada tahun ini turut dibukakan kepada peserta dari negara jiran, terutama penyertaan dari Limbang, Miri dan Kota Kinabalu.

Ketika bercakap kepada pemberita pada persidangan media yang diadakan di Tasik Sarubing, hari ini, Ketua Biro Belia dan Sukan MPK Belimbing selaku Urus Setia Larian Cabaran Bukit Markucing, Awang Yusrey bin Haji Gapor/Haji Mohd Daud berkata, berbeza dari tahun sebelumnya, pada tahun ini pihak penganjur tidak mengehadkan penyertaan, sebaliknya membukakannya kepada warga tempatan dan juga warga asing yang berminat untuk mengambil bahagian.

”Kami menjangkakan penyertaan pada kali ini mencecah sekitar 300 peserta dan kami menetapkan 10 kategori perlumbaan, iaitu lima kategori bagi lelaki dan lima kategori lagi bagi penyertaan kaum wanita,” katanya.

Lima kategori larian bagi lelaki ialah Kategori A Lelaki berumur tujuh hingga 12 Tahun, Kategori B Lelaki berumur 13 hingga 25 Tahun, Kategori C Lelaki berumur 40 hingga 55 Tahun, Kategori D Lelaki berumur 56 Tahun ke atas dan Kategori E Lelaki Terbuka Tanpa Had Umur.

Awang Yusrey ditemu bual pemberita mengenai Larian Cabaran Bukit Markucing 2016.
Awang Yusrey ditemu bual pemberita mengenai Larian Cabaran Bukit Markucing 2016.

pg08_160411_d

Sementara itu, lima kategori larian bagi wanita termasuk Kategori A Wanita berumur tujuh hingga 12 Tahun, Kategori B Wanita berumur 13 hingga 25 Tahun, Kategori C Wanita berumur 40 hingga 55 Tahun, Kategori D Wanita berumur 56 Tahun ke atas dan Kategori E Wanita Terbuka Tanpa Had Umur.

Menurutnya, jarak larian bagi peserta kategori A dan D untuk lelaki dan wanita ialah 3.3 kilometer manakala jarak larian bagi Kategori B, C dan E untuk lelaki dan wanita ialah 5.7 kilometer.

Beliau menjelaskan, pada perlumbaan tahun ini juga pihak penganjur telah memperkenalkan penggunaan gelang bagi para peserta dan akan diperiksa semula di garisan penamat.

“Setiap peserta bagi perlumbaan jarak 3.3 kilometer akan diberikan gelang di check point 10, manakala peserta bagi jarak larian 5.7 kilometer menerima gelang penyertaan masing-masing setelah berjaya sampai di check point 9,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pihak penganjur mengenakan bayaran pendaftaran sebanyak $25 dan peserta akan menerima sehelai kemeja T Larian Cabaran Bukit Markucing sewaktu melaporkan diri di Galeri Taman Riadah Tasik Sarubing pada 27 dan 28 Mei 2016 untuk mengambil kemeja T dan nombor larian.

Ditanya mengenai hadiah, beliau berkata, lima peserta terbaik bagi setiap kategori akan berpeluang membawa pulang hadiah-hadiah yang sebahagian besarnya berupa peralatan elektrik menarik.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penyertaan mereka yang berminat dengan melengkapkan borang penyertaan khas yang boleh didapati dari Galeri Taman Riadah Tasik Sarubing atau di rumah Ketua Kampung Belimbing atau menghubungi hotline Cabaran Larian Bukit Markucing di talian 8119444, Awang Yusrey di talian 8918593, Awang Daud di talian 8922286 dan Awangku Zainal di talian 8918592.

Semua borang penyertaan hendaklah disertakan dengan salinan kad pintar dan mesti diserahkan kembali di Galeri Taman Riadah Tasik Sarubing atau di rumah Ketua Kampung Belimbing tidak lewat pada pukul 5 petang 8 Mei 2016.