Uji fizikal peserta kursus

Uji fizikal peserta kursus

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Hari kedua Kursus Asas Pengadil Futsal 2016 anjuran Jabatan Pengadil, NFABD hari ini menjadi hari paling mencabar buat para pesertanya terutama dari sudut fizikal apabila perlu melalui ‘Ujian Kecergasan’ yang sukar.

Ujian tiga fasa di Stadium Negara Hassanal Bolkiah berkenaan benar-benar menguji tahap kecergasan maksimum para peserta bermula dengan ujian kepantasan, disusuli ujian kelincahan dan ujian tersukar antara semua, Yo-Yo ARIET Tahap 2.

Fasa 1, para peserta perlu berlari 4×10 meter di bawah 10 saat, manakala pada Fasa 2, para peserta dikehendaki berlari lurus 30 meter diikuti dengan larian melintang 2×10 meter disusuli dengan larian berundur 10 meter dan diakhiri dengan larian lurus 20 meter, dengan masa di bawah 20.50 saat.

Fasa 3, Yo-Yo ARIET Tahap 2 memerlukan peserta berlari lurus 2×20 meter dan berlari melintang 2×12.5 meter dengan rehat lima saat di antara keduanya, yang perlu dilakukan oleh para peserta semaksimum set yang mampu mereka lakukan pada satu kadar masa yang telah ditetapkan.

Kalangan peserta ketika menjalani ujian kecergasan terkini yang baru diperkenalkan, Yo-Yo ARIET Tahap 2 sambil dipantau Haji Hamidon (kiri).
Kalangan peserta ketika menjalani ujian kecergasan terkini yang baru diperkenalkan, Yo-Yo ARIET Tahap 2 sambil dipantau Haji Hamidon (kiri).

Menurut Yang Di-Pertua AJK Pengadil Futsal Negara Brunei Darussalam, Haji Hamidon bin Haji Matzin, Yo-Yo ARIET Tahap 2 merupakan ujian kecergasan terkini dan terbaru yang buat pertama kalinya diperkenalkan di Brunei Darussalam.

Kelulusan minima ujian Fasa 3 adalah 19 set iaitu Larian Ke-37 yang meliputi jarak sejauh 1210 meter, manakala kelulusan maksimumnya adalah 22 set iaitu Larian Ke-44 yang meliputi jarak sejauh 1430 meter, jelasnya kepada Media Permata.

“Kita juga menggunakan kesemua kelengkapan terkini yang mencerminkan kecanggihan teknologi masa kini dan kemodenan sukan terkini dalam penggunaan ICT termasuk ‘Macro Gate’ yang mengimbas secara automatik masa larian para peserta,” terangnya.

Haji Hamidon seterusnya menjelaskan bahawa untuk ujian Fasa 3, memerlukan perisian khas Yo-Yo ARIET Tahap 2, komputer dan pembesar suara bagi memudahkan para peserta mengetahui bila untuk mula berlari, tempoh masa rehat lima saat dan tempoh masa untuk menamatkan setiap larian.

Sebelum para peserta memulakan ujian kecergasan mereka, pemudah cara kursus, Awang Sukry bin Haji Matassim telah membawa peserta melakukan senaman pemanasan badan terlebih dulu.

Kursus empat hari yang telah bermula pada Jumaat lalu itu turut dikendalikan oleh Instruktor Pengadil FIFA, Haji Junaidi bin Haji Serudin, Instruktor Pengadil FIFA merangkap Pengadil FIFA, Haji Dasnan bin Haji Abdul Rahman.

ARTIKEL YANG SAMA