Uji kecekapan bertindak

Uji kecekapan bertindak

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 29 Nov – Seorang pekerja kilang ditemui ‘terperangkap’ dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik stor menyimpan kotak, dipercayai sesak nafas setelah terhidu asap tebal dalam kejadian ‘kebakaran’ di Kilang memproses air mineral Sehat Kampung Lumut di sini, hari ini.

Anggota bomba yang segera dikejarkan ke tempat kejadian, menemui mangsa setelah kira-kira lima minit mencari, yang seterusnya dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Balai Bomba Sungai Liang telah menerima panggilan kejadian ‘kebakaran’ melibatkan bahagian stor penyimpanan kotak kilang berkenaan kira-kira pukul 9:45 pagi dan telah mengejarkan tiga jentera bomba bersama 11 orang anggota bomba dan penyelamat dengan diketuai Pemangku Timbalan Balai Awang Haslan.

Sebaik tiba di tempat ‘kejadian’ lebih 20 orang pekerja kilang berkenaan dilaporkan dalam keadaan selamat oleh ketua marsyal bomba syarikat tersebut, yang telah mengarahkan semua pekerja mengosongkan bangunan dan berada di tempat berkumpul.

Anggota bomba menggunakan dua pancutan jet daripada tangki jentera bomba bagi mengawal kebakaran dan satu pasukan lain telah menggunakan alat pernafasan bagi mencari ‘mangsa’ yang ‘terperangkap’.

Ketua Marsyal Bomba Kilang bertindak mengenal pasti pekerja yang diarahkan di tempat berkumpul.
Ketua Marsyal Bomba Kilang bertindak mengenal pasti pekerja yang diarahkan di tempat berkumpul.
Anggota bomba bersama para pekerja kilang berkenaan bergambar ramai selepas latihan kebakaran diadakan.
Anggota bomba bersama para pekerja kilang berkenaan bergambar ramai selepas latihan kebakaran diadakan.

Senario ini merupakan latihan kebakaran antara Balai Bomba Sungai Liang dengan Kilang memproses air mineral Sehat di Lumut yang bertujuan untuk memastikan kepantasan tindakan dan tatacara yang betul mengosongkan bangunan bagi pekerja-pekerja di kilang berkenaan.

Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Pegawai Balai Awang Muhammad Ali bin Hassan memberitahu, latihan yang mengambil masa selama sejam itu, adalah sebagai mengenal pasti tindakan segera sebelum api merebak, selain mengukur respons masa perjalanan dari Balai Bomba Sungai Liang menuju ke kilang berkenaan, serta untuk memberikan kesempatan anggota yang baru bertugas mengetahui stesen masing-masing.

Manakala itu, untuk pihak pekerja kilang pula, ia diadakan bagi menunjukan tindakan betul seperti yang telah dipelajari semasa menyertai latihan kebakaran melalui Perhubungan Awam Bomba, seperti tindakan segera jika berlaku kebakaran, peranan ketua marsyal bomba yang mesti bertepatan mengikut piawaian.

Selepas latihan, anggota bomba juga telah meninjau beberapa kawasan kilang berkenaan bagi mengenal pasti lokasi yang berisiko tinggi, sebelum diteruskan dengan sesi pemeriksaan lepas latihan.

Turut hadir semasa latihan ialah Timbalan Pegawai Pemerintah Operasi B, Penolong Penguasa Bomba Wan Julaihi bin Wan Ibrahim, Stesen Komander Balai Bomba Sungai Liang, Pegawai Balai Awang Muhammad Ali dan Pegawai Perhubungan Awam Operasi B, Pegawai Balai Dayang Azlina binti Haji Adanan.

Dalam taklimatnya semasa pemeriksaan selepas latihan, Penolong Penguasa Bomba Wan Julaihi memberikan komen bahawa keseluruhan latihan yang dijalankan mengikut peraturan yang telah diajarkan, seperti tatacara mengosongkan bangunan, membuat tindakan cepat menggunakan pemadam api sebelum ketibaan anggota bomba bagi mengelakkan api merebak dan peranan ketua marsyal dilaksanakan dengan baik.

Sementara itu, Pegawai Balai Awang Muhammad Ali pula menyarankan para pekerja supaya akan lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan di kilang tersebut serta bertindak pantas bagi mengelakkan kebakaran merebak di samping itu, mengingatkan ketua marsyal bomba syarikat supaya bertindak mengenal pasti jumlah pekerja yang bertugas.

ARTIKEL YANG SAMA