Uji kecekapan kendali tumpahan minyak

Uji kecekapan kendali tumpahan minyak

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 9 Mei – Bagi menguji dan menilai kesediaan serta keberkesanan semua pihak pada peringkat kebangsaan, dalam mengendalikan sebarang kemungkinan kejadian tumpahan minyak di negara ini, latihan bersepadu dinamakan ‘Exercise Shining Shore 2016’ telah berlangsung hari ini.

Latihan selama dua hari itu, melibatkan 400 kakitangan Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad (BSP), Syarikat Brunei LNG (BLNG), Brunei Gas Carrier Sdn Bhd (BGC) dengan kerjasama Komiti Pengurusan Pelan Kontingensi Tumpahan Minyak Kebangsaan (NOSCOP MC) dan beberapa agensi kerajaan lainnya termasuk bahagian Pengurusan Bencana Daerah Belait (DDMC).

Pelancaran latihan telah dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Laut, Kementerian Perhubungan, Kapten Basza Alexander bin Haji Basri, di Dewan Cenderawasih Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) di sini, pagi tadi.

Kapten Basza Alexander dalam ucapannya mengatakan, Latihan Tumpahan Minyak Peringkat Kebangsaan akan memberikan kesempatan menguji dan menilai tahap kesediaan dan keberkesanan semua pihak jika berlaku sebarang kemungkinan tumpahan minyak di negara ini.

Menerusi latihan itu, katanya, semua pihak yang berkepentingan berpeluang menguji kecekapan dan mendalami pengetahuan mengenai prosedur-prosedur yang sedia ada, mewujudkan rangkaian hubungan pada peringkat kebangsaan bagi insiden-insiden bencana alam, kemalangan, kecemasan dan sebagainya, yang mana perkara tersebut memerlukan kerjasama yang erat dan pentingnya semua pihak bersatu padu apabila berdepan kejadian yang sebenar.

“Daripada latihan selama dua hari itu nanti, akan memberikan pengalaman baru dan bermanfaat dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang, dan harus dikenal pasti sebarang kekurangan yang dihadapi demi meningkatkan dan menyelaraskan rangkai kerja dan piawaian dalam pembangunan sistem yang lebih terarah dan teratur khususnya di peringkat kebangsaan,” ujarnya.

Tambah beliau, negara ini akan lebih bersedia dalam menghadapi apa jua jenis insiden kecemasan terutama sekali bencana berskala besar iaitu yang mempunyai impak yang luas dan besar terhadap masyarakat, alam sekitar, aset dan ekonomi negara dan juga reputasi syarikat serta reputasi negara sendiri.

Antara tujuan latihan ini juga adalah untuk menguji persediaan dan tatacara dalam mengurus insiden menggunakan Sistem Perintah Insiden 300 (ICS 300) melalui perintah, kawalan, komunikasi dan integrasi dengan semua penggerak balas daripada BSP, BLNG, BGC dan pelbagai agensi kerajaan di bawah Perintah Penyatuan.

Selain itu, ia akan memerlukan pengaktifan satu pasukan pengurusan krisis di BSP, BLNG dan BGC.

Senario latihan akan dimulakan oleh MV Sinaran, yang dikendalikan oleh BGC, yang akan bertembung dengan jeti pengangkutan di BLNG Lumut, akibat pelanggaran itu, terdapat tumpahan minyak yang berkemungkinan tinggi turut menjejaskan bahagian pantai dari Anduki, berikutan itu mengikut prosedur, pasukan NOSCOP MC dan pasukan penggerak balas tumpahan minyak BSP akan diaktifkan, turut disokong sama oleh Pusat DDMC.

Latihan itu juga akan melibatkan penyertaan kira-kira 150 orang yang akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan pantai yang tercemar akibat tumpahan minyak berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA