Uji kecergasan daya saing peserta

Uji kecergasan daya saing peserta

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Nina Juna tampil juara Warrior Perseorangan selepas meninggalkan lebih 60 peserta dalam Cabaran Kecergasan Warrior 2016 yang berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Sementara itu bagi Warrior Berkumpulan pula pasangan Mohd Nazirul Reduan bin Haji Mohd Masuni dan Nur Farazida binti Haji Abdullah tampil juara dan kategori terakhir iaitu Fun Warrior pula disandang Nur Sheila Idnin.

Cabaran kali ini menampilkan sembilan disiplin kecergasan yang perlu disiapkan oleh kesemua peserta di dalam tempoh masa yang diberikan oleh pihak penganjur, selain melihat kepada aspek ulangan latihan yang menjadi kriteria penghakiman cabaran berkenaan.

Ketika ditemui Pengurus Activfitness Studio yang juga merupakan jurulatih di studio berkenaan, Abby Abdullah dan suaminya yang juga jurulatih studio berkenaan, Zulkifly Hakim menegaskan bahawa sambutan sangat menggalakkan meskipun jumlahnya lebih kecil daripada penganjuran di luar di Pantai Muara sebelum ini.

Gambar ramai peserta Cabaran Kecergasan Warrior 2016.
Gambar ramai peserta Cabaran Kecergasan Warrior 2016.

“Bukan bererti sambutannya tidak menggalakkan namun saya perhatikan para peserta rata-rata lebih suka akan aktiviti luaran berbanding di dalam dewan atau tempat tertutup dan jika ditanya saya sendiri pun suka acara yang melibatkan alam sekitar di sebelah pagi terutamanya,” ujar Zulkifly.

Mengulas mengenai pencapaian dan semangat para peserta, menurutnya beliau sangat teruja untuk melihat semangat juang dan daya saing yang tinggi dalam kalangan peserta untuk bersaing sesama sendiri dan memuji dan seterusnya mengesyorkan supaya latihan yang dibuat diteruskan pada masa akan datang.

“Ujian kali ini melihat kepada tahap kecergasan peserta daripada aspek keberkesanan fungsi asas badan dan cabaran berat berdasarkan masa yang ditetapkan dan pemenang keseluruhan dibuat secara menyeluruh setelah tiga peringkat latihan” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai bulan Ramadhan yang bakal tiba sedikit masa lagi, beliau mengingatkan supaya jangan terlalu banyak membuat latihan di luar kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi dan mengesyorkan latihan rintangan dibuat selepas berbuka dan yang lebih berat selepas solat tarawih.

“Latihan studio adalah yang baik di bulan Ramadan pada sebelah malam dan pastinya para pelatih perlu mengambil lebih banyak air untuk mengelakkan dehidrasi bagi tenaga di sepanjang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan nanti,” tegas Zulkifly lagi.

ARTIKEL YANG SAMA