Uji kemampuan KD Tun Razak bersama Perancis

Uji kemampuan KD Tun Razak bersama Perancis

KOTA KINABALU, 19 Feb (Bernama) – Latihan antikapal selam antara kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kapal frigat antikapal selam terbaharu tentera laut Perancis, Provence yang diadakan baru-baru ini memberi peluang untuk menguji kemampuan kapal selam kedua TLDM.

Ketua Staf Angkatan Kapal Selam TLDM, Kapten Baharudin Wan Md Nor berkata beliau berpuas hati dengan prestasi keseluruhan KD Tun Razak sepanjang latihan bersama kapal frigat Perancis yang merupakan antara yang tercanggih di dunia.

Beliau mengakui latihan itu agak kompleks, melibatkan beberapa peringkat dan dilaksanakan dua hari berterusan sejak Selasa lepas.

“Saya boleh katakan bahawa anak-anak kapal yang kita ada sangat berkeupayaan walaupun berhadapan dengan kapal yang canggih dengan teknologi terkini, dengan taktik yang betul kita berjaya melancarkan simulasi serangan terhadap mereka dengan jayanya dan dapat menyembunyikan diri daripada dikesan,” beliau memberitahu wartawan yang diberi peluang menyertai latihan itu baru-baru ini.