Uji ketahanan belia

Uji ketahanan belia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Setelah melalui pelbagai cabaran dan ujian yang menguji ketahanan mental, fizikal dan emosi mereka untuk menghadapi halangan dalam kehidupan, seramai 56 orang peserta telah berjaya menamatkan Latihan Kemahiran Hidup (LESTARI) ke-16 dan diraikan pada majlis tamat latihan di Dewan Sekolah Vokasional Nakhoda Ragam, Lebuhraya Muara-Tutong, Lambak Kanan, kelmarin. Hadir pada majlis tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Pengarah Pengajian Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr. Masitah binti Shahril.

Para peserta program selama empat hari tiga malam itu telah melalui pelbagai latihan yang meliputi semua aspek kehidupan dalam menghadapi cabaran dan halangan dalam kehidupan. Mereka juga diberi latihan untuk mempersiapkan diri mereka daripada segi mental, fizikal dan emosi untuk menghadapi keadaan dunia yang sebenar. Melalui Program LESTARI ini, mereka diberikan latihan untuk menjadi seorang pemimpin yang lebih baik dan menyerlahkan lagi bakat mereka supaya ia mampu dimanfaatkan sepenuhnya pada masa depan.

Dr. Masitah bergambar ramai dengan para belia yang menyertai program tersebut.
Dr. Masitah bergambar ramai dengan para belia yang menyertai program tersebut.

LESTARI bermatlamat untuk mendidik para peserta mengenai kemahiran hidup dalam suasana interaktif dan mesra belia, untuk menggerakkan golongan belia supaya akan lebih bertanggungjawab terhadap diri mereka sendiri, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat serta bagi membolehkan para peserta untuk menilai dan mengetengahkan potensi diri mereka. Program itu dikendalikan oleh fasilitator yang terdiri daripada ahli-ahli Lepasan Kemahiran Hidup Majlis AIDS Brunei Darussalam (BLISS) yang berusia dalam lingkungan awal 20-an yang dihasratkan untuk memperkasakan belia dan kepimpinan generasi muda.

Dengan mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan, kerja-kerja belia, kegiatan keagamaan dan kerja-kerja kesukarelawanan, para fasilitator program itu memberikan latihan secara sukarela dengan hasrat untuk menyumbang kepada pembangunan belia Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA