Uji ketangkasan anggota bomba Brunei

Uji ketangkasan anggota bomba Brunei

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Dalam menguji kecergasan, ketangkasan, ketahanan mental dan fizikal anggota bomba itu sendiri dan berpasukan, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengadakan Pertandingan Kemahiran Bomba bagi tahun 2016 yang berlangsung di Padang Kawad, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas.

Hadir merasmikan pertandingan berkenaan ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lt Kol (B) Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman yang telah diperkenalkan kepada para peserta pertandingan di awal majlis. Turut hadir ialah penolong-penolong pengarah, para pegawai kanan, anggota serta kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Rip It Off yang menggambarkan satu senario kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kenderaan salon dan terdapat seorang pemandu terperangkap dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Untuk menyelesaikannya, anggota bomba dan penyelamat diberikan arahan untuk membuka keseluruhan atap menggunakan perkakas seperti Hydraulic Hose, Cutter, Combi-Tool dan banyak lagi. Pertandingan ini memperlihatkan proses menyelamat yang cekap, cepat, berkesan dan selamat. Ia menunjukkan para peserta melakukan teknik menyelamat seperti penstabilan kenderaan, mencari tempat masuk dan banyak lagi.

Muncul juara dalam kategori pertama adalah Pasukan Cawangan Operasi E, diikuti oleh Cawangan Operasi C dan Cawangan Operasi G di tempat ketiga.

Suasana ketika pertandingan itu diadakan.
Suasana ketika pertandingan itu diadakan.

Kategori kedua, Braveheart Challenge pula dimenangi oleh anggota Bomba 942, manakala itu, tempat kedua dimenangi oleh anggota bomba 1082, anggota bomba 1188 di tempat ketiga, anggota bomba 1254 di tempat keempat dan tempat kelima dimenangi oleh anggota bomba 1152.

Kategori ini merupakan acara perseorangan untuk menguji kekuatan fizikal dan mental serta ketahanan jasmani dalam menghadapi pelbagai cabaran dengan cepat, tepat, disiplin serta strategi dan teknik kemahiran menyelamat mangsa di tempat tinggi.

Tugas-tugas yang harus dilakukan adalah bermula dengan memakai Donning, berlari menuju ke menara menarik dua batang aliran 30 meter berukuran 2.5 inci, menggulung hos pertama menuju tempat awal dan banyak lagi.

Penyampaian hadiah-hadiah dan sijil penyertaan kepada para pemenang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Pertandingan kemahiran bomba ini merupakan acara tahunan yang antara lainnya bertujuan menguji kemahiran serta kecekapan operasi secara berpasukan di antara cawangan-cawangan operasi seluruh daerah bagi memperlihatkan ‘Operational Skills’, kecergasan dan semangat berpasukan dalam kalangan mereka berasaskan senario sebenar operasi memadamkan kebakaran dan menyelamat nyawa.

Selain itu, ia juga sebagai satu sukat-sukat yang akan menguji kekuatan fizikal dan mental serta ketahanan jasmani dalam menghadapi pelbagai cabaran halangan dan rintangan yang menunjukkan tugas-tugas berbeza daripada cabaran dengan cepat, tepat, disiplin serta strategi dan teknik kemahiran.

Antara lain objektif pertandingan ini juga adalah untuk memperlihatkan kemahiran dan kecekapan para peserta dalam penggunaan serta pengendalian peralatan memadamkan kebakaran dan menyelamat nyawa dan membina semangat kerjasama berpasukan di dalam acara yang dipertandingkan.

Pertandingan berkenaan juga dapat menanamkan semangat rajin berusaha untuk mencapai yang terbaik bagi mencorakkan kepelbagaian kemahiran dan pengetahuan serta mewujudkan suasana muhibah dan merapatkan jurang di antara para peserta dalam kalangan anggota kecemasan.

Di samping itu, diharap akan dapat memilih dan menghantar satu pasukan terbaik bagi mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Negara Brunei Darussalam ke Bengkel Pertukaran Penyelamat Elit Antarabangsa, Perbarisan Hari SCDF dan Cabaran Anggota Bomba dan Paramedik Global Singapura, di Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA