Uji pandu dua model terbaru Perodua

Uji pandu dua model terbaru Perodua

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Diperkenalkan pada Pameran Auto 2016 baru-baru ini, Myvi 1.5 Hatchback dan Alza 1.5 MPV merupakan dua model terbaru Perodua yang memasuki pasaran Brunei.

Bagi mencuba sendiri kehebatannya, para pengamal media tempatan, hari ini, telah dijemput oleh GHK Sdn Bhd selaku salah satu pengedar jenama Perodua di negara ini untuk membuat uji pandu kedua-dua kenderaan berkenaan, dengan perjalanan bermula dan berakhir di Starbucks, Beribi.

Uji pandu dimulakan dengan Model Alza 1.5 MPV yang begitu sesuai bagi sebuah keluarga kerana ia boleh memuatkan tujuh orang penumpang dengan mempunyai ruang yang begitu luas.

Ia merupakan salah satu model terkenal di Malaysia dengan reka bentuk sporty dan penuh bergaya serta dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini seperti USB dan Bluetooth bagi gaya hidup moden.

Walaupun sebuah MPV, pemanduan di lebuh raya terasa lancar dan stabil meskipun pada kelajuan tinggi.

Kereta jenama Perodua iaitu Myvi 1.5 Hatchback (kiri) dan Alza 1.5 MPV (kanan).
Kereta jenama Perodua iaitu Myvi 1.5 Hatchback (kiri) dan Alza 1.5 MPV (kanan).

Model ini juga dilengkapi pelbagai ciri keselamatan termasuk dua beg udara, sistem Anti-Lock Brake (ABS), sistem keselamatan kanak-kanak ISOFIX dan banyak lagi bagi memastikan keselamatan para pemandu dan penumpang.

Manakala itu, model Myvi pula merupakan kereta yang sesuai bagi generasi muda masa kini dengan gaya sporty dan menarik walaupun berbentuk kecil.

Pengalaman memandu kereta ini bukan sahaja amat mudah malah begitu menyeronokkan dengan papan pemuka yang dimuatkan pelbagai teknologi terkini seperti USB dan Bluetooth.

Pemandu juga dapat menyesuaikan ketinggian kerusi semasa memandu bagi keselesaan maksimum semasa pemanduan.

Di samping itu, Myvi juga dilengkapi sensor letak kereta dan sensor sudut di depan bagi memudahkan pemandu untuk meletakkan kenderaan mereka dengan cara yang lebih selamat dan teratur.

Model ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dua beg udara, sistem Anti-Lock Brake (ABS), sistem ISOFIX dan banyak lagi.

Kehebatan Myvi dan Alza terbukti apabila kedua-duanya telah dianugerahkan ASEAN NCAP 4-stars.

Bagi para pelanggan yang berminat bolehlah berkunjung ke Bilik Pameran GHK di Beribi semasa waktu perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA