Uji prestasi di Sabah

Uji prestasi di Sabah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Buat kali kelima, Nissan GT-R yang diwakili oleh GT-Engineering akan mengambil bahagian dalam Sabah Drag Battle yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah bermula 20 hingga 22 November.

Sehubungan dengan itu, Boustead Sdn Bhd yang merupakan penaja bagi Pasukan GT-Engineering terus memberikan sokongan kepada pasukan itu supaya akan meraih kejayaan dalam acara yang akan diadakan di Kota Kinabalu itu.

Sebelum Pasukan GT-Engineering berlepas bagi menyertai acara itu, majlis perlepasan kereta yang digunakan oleh GT-Engineering ke acara itu diadakan di Dewan Pameran, Boustead Sdn Bhd, Beribi, yang disempurnakan oleh Pengurus Jualan Kanan, Tan Teck Hock.

Menurut pengurus pasukan GT-Engineering, Lim Jin Hou, pasukannya berharap untuk meraih kemenangan dalam acara itu dan memperbaiki lagi pencapaian yang telah diperoleh mereka dalam penyertaan pada 2014 di mana mereka menduduki tempat kedua. Beliau berharap untuk menjuarai acara itu seperti yang telah dicapai pada 2013 di mana pasukannya menduduki bukan sahaja tempat pertama tetapi juga tempat kedua dan keempat dalam acara itu.

Tan Teck Hock secara simbolik melepaskan kenderaan, Nissan GT-R yang bakal beraksi di Sabah Drag Battle.
Tan Teck Hock secara simbolik melepaskan kenderaan, Nissan GT-R yang bakal beraksi di Sabah Drag Battle.
Tan Teck Hock bersama-sama pihak pengurusan Boustead Sdn Bhd bergambar ramai dengan Pasukan GT-Engineering dan kereta Nissan GT-R yang bakal beraksi di Sabah Drag Battle.
Tan Teck Hock bersama-sama pihak pengurusan Boustead Sdn Bhd bergambar ramai dengan Pasukan GT-Engineering dan kereta Nissan GT-R yang bakal beraksi di Sabah Drag Battle.

Beliau menyatakan bahawa pasukannya bersama-sama dua orang pemandu iaitu David dan Jack sudah membuat persiapan awal dan berasa yakin akan dapat meraih kemenangan dalam acara itu nanti.

Nissan GT-R dan GT-Engineering melahirkan harapan agar pasukan itu akan terus mengekalkan prestasi standard tinggi dalam perlumbaan yang dianjurkan bersama oleh MUSC Motorsports dan persatuan-persatuan bukan kerajaan yang berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia.

Sebagai ikon kepada semangat perintis Nissan, Nissan GT-R merupakan manifestasi nilai-nilai Nissan iaitu inovatif, bersemangat, berwawasan dan berpegang kepada dunia nyata. Berpegang kepada konsep kereta lumba yang berprestasi tinggi, Nissan GT-R merupakan sebuah kereta yang benar-benar boleh diakses oleh semua, di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Boustead Sdn Bhd yakin dengan tajaan dan sokongan yang diberikan kepada pasukan itu, ia merupakan pelantar yang terbaik bagi penggemar GT-R untuk merasai sendiri keseronokan acara perlumbaan Nissan.

Di samping itu, penyertaan pasukan itu juga diharap akan meningkatkan lagi imej, Nissan GT-R sebagai sebuah kenderaan yang melambangkan inovasi.