Ujian getir Dortmund, Bayern

Ujian getir Dortmund, Bayern

BERLIN, 18 Sept (AFP) – Borussia Dortmund menghadapi ujian kecekalan pertama mereka sebagai pemimpin Bundesliga apabila melayan Bayer Leverkusen, sementara Bayern Munich pula menghadapi perlawanan rumit di Darmstadt, Ahad ini.

Selepas kekecewaan kerana menduduki tempat ketujuh pada musim lalu, Dortmund sudah kembali di senarai teratas kedudukan, di depan pencabar Bayern berdasarkan perbezaan gol, ekoran empat kemenangan berturut-turut mereka di bawah jurulatih baru Thomas Tuchel.

Dortmund menewaskan FC Krasnodar dalam peringkat kumpulan perlawanan pembukaan Liga Europa semalam dan pemain Marcel Schmelzer tidak sabar-sabar untuk meneruskan kemenangan mereka hujung minggu ini.

Skuad Bayern pimpinan Pep Guardiola akan menerima sambutan mesra di Stadion Merck di Darmstadt esok dengan tuan rumah menjangka satu lagi kemenangan setelah mengejutkan Bayer Leverkusen 1-0 di Bay Arena minggu lalu.

Bayern yang baru sahaja memperoleh kemenangan Liga Juara-Juara 3-0 di Olympiakos, semalam mengalih perhatian untuk menewaskan Darmstadt untuk menduduki tempat teratas dalam senarai keduudkan sebelum Dortmund bermain 24 jam kemudian.

Darmstadt sudah kembali dalam Bundesliga selepas tidak bermain selama 33 tahun dan tidak pernah menewaskan Bayern dalam empat pertemuan sebelum ini, yang terakhir adalah pada 1982.

Pemenang Piala Dunia Jerman Mario Goetze dijangka menjadi pemain simpanan lagi untuk Bayern setelah disingkirkan dalam barisan permulaan di Greece, tetapi menjaringkan gol sebagai pemain simpanan.

Bayern telah menyatakan niat untuk menjadi pasukan pertama memenangi empat kejuaraan Bundesliga berturut-turut dan meskipun memenangi kesemua empat perlawanan setakat ini, mereka mendapati diri mereka mengekori di belakang Dortmund.