Ujian Kefasihan Bahasa Jepun 6 Dis ini

Ujian Kefasihan Bahasa Jepun 6 Dis ini

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Jawatankuasa bagi Ujian Kefasihan Bahasa Jepun di Brunei Darussalam akan mengadakan Ujian Kefasihan Bahasa Jepun (JLPT) di Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada 6 Disember 2015 depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun di sini hari ini, ujian itu dibukakan kepada orang ramai dan borang permohonan berharga $5 bagi menyertai ujian itu boleh didapati di Seksyen Kebudayaan, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam.

Borang yang lengkap diisi hendaklah dihantar ke bahagian itu sebelum 11 September 2015 bersama yuran pendaftaran berjumlah $30.

JLPT adalah ujian bagi bukan penutur Bahasa Jepun, yang menilai dan mengesahkan ekfasihan Bahasa Jepun mereka.

Bagi mereka yang menilai kefasihan Bahasa Jepun mereka, bolehlah mendaftar untuk menyertai ujian berkenaan.

Pada tahun 2014, lebih 594,000 orang telah mengambil ujian itu di 65 buah negara di seluruh dunia, menurut kenyataan itu lagi.

Ujian itu diadakan dalam lima peringkat bagi mengukur kefasihan Bahasa Jepun setepat yang mungkin.

Peringkat ujian N1 adalah bagi keupayaan memahami Bahasa Jepun yang digunakan dalam pelbagai keadaan, N2 keupayaan memahami Bahasa Jepun dalam situasi harian dan pelbagai keadaan pada tahap tertentu, N3 keupayaan memahami Bahasa Jepun, N4 keupayaan memahami asas Bahasa Jepun, dan N5 adalah bagi keupayaan untuk memahami sedikit asas Bahasa Jepun.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut ujian JLPT, bolehlah melayari laman web http://www.jlpt.jp/e/index.html atau menghubungi kedutaan Jepun di talian 2229265.