Ujian nuklear Korea U diselar sebagai provokasi

Ujian nuklear Korea U diselar sebagai provokasi

TOKYO, 6 Jan (AFP) – Jiran-jiran Korea Utara hari ini menyelar ujian Pyongyang yang didakwa ujian bom hidrogen, dengan mengatakan ia membawa ancaman bahaya kepada keselamatan serantau.

Beberapa buah kerajaan menjanjikan respons tegas ketika ketegangan meningkat lagi di Asia timur laut, ramai menggesa bagi tindakan seterusnya oleh PBB ke atas negara pertapa itu, yang telah pun dikenakan sekatan berat antarabangsa.

“Ujian nuklear yang dijalankan oleh Korea Utara adalah ancaman serius kepada keselamatan negara kita dan kami benar-benar tidak boleh bertolak ansur,” Perdana Menteri Shinzo Abe berkata di Tokyo.

“Ini jelas menyalahi resolusi Majlis Keselamatan PBB dan cabaran serius terhadap usaha antarabangsa bagi pengawalan senjata,” katanya dengan menambah kata negaranya akan berusaha bagi usaha selaras dalam kalangan anggota PBB untuk menangani tindakan ini.

Pada rundingan tergempar Majlis Keselamatan Kebangsaan negara itu (NSC) yang diadakan serta-merta selepas berita itu didedahkan, Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye menyifatkan ujian itu ‘provokasi serius’.

Menteri Luar Negeri Jepun, Fumio Kishida (kiri) mendengar ucapan Duta AS ke Jepun, Caroline Kennedy (kanan) semasa rundingan mereka di kementerian luar negeri di Tokyo pada 6 Januari berikutan ujian nuklear Korea Utara. Shinzo Abe mengutuk pengumuman Pyongyang yang telah menjalankan ujian bom hidrogen. – AFP
Menteri Luar Negeri Jepun, Fumio Kishida (kiri) mendengar ucapan Duta AS ke Jepun, Caroline Kennedy (kanan) semasa rundingan mereka di kementerian luar negeri di Tokyo pada 6 Januari berikutan ujian nuklear Korea Utara. Shinzo Abe mengutuk pengumuman Pyongyang yang telah menjalankan ujian bom hidrogen. – AFP

“Ujian itu bukan saja provokasi serius terhadap keselamatan kebangsaan kami tetapi juga ancaman kepada masa depan kami dan cabaran serius kepada kestabilan dan keamanan antarabangsa,” katanya, dengan menggesa bagi sekatan kuat ke atas Pyongyang.

Dalam kenyataan sebelumnya, Seoul berkata ia akan mengambil langkah berpatutan termasuklah sekatan tambahan oleh Majlis Keselamatan PBB, supaya Korea Utara menerima akibat dari ujian nuklear itu.

Di Washington, Rumah Putih tidak mengesahkan ujian itu, tetapi berikrar akan ‘memberi respons sesuai terhadap sebarang dan kesemua provokasi Korea Utara’.

Tidak ada respons segera dari kerajaan China, tetapi dalam komentar perkhidmatan berita rasmi Xinhua, berkata langkah itu adalah ‘sangat dikesali’ dan mencabuli resolusi PBB.

ARTIKEL YANG SAMA