Ujian standard bagi pelajar PTE

Ujian standard bagi pelajar PTE

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 13 Okt – Sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk meningkatkan kapasiti manusia dalam pengajaran dan pembelajaran selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan, Unit Perkembangan Guru Profesional (TDP), Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong telah mengadakan forum bagi pensyarah-pensyarah di PTE Tutong, kelmarin.

Forum tersebut melibatkan pensyarah-pensyarah dari Jabatan Matematik, Psikologi dan Sosiologi PTE berkenaan untuk membentangkan mengenai dapatan siri ujian standard mereka ke atas pelajar-pelajar di PTE berkenaan.

Sekumpulan tutor Matematik dari PTE Tutong, terdiri daripada Lim Gea Kuan, Dayangku Farizah binti Pengiran Haji Wahab, Awang Almasri bin Haji Sulaiman dan Awang Azrin bin Haji Bolhassan telah membuat kajian adakah siri ujian standard itu dapat meningkatkan motivasi dan daya saing pelajaran dalam mata pelajaran matematik.

Dalam menyelidik perkara tersebut, projek berkenaan telah melibatkan seramai 91 pelajar Tahun 13, 2016 untuk menduduki siri ujian standard.

Hasil daripada kajian tersebut menunjukkan bahawa pelajar lebih tekun belajar untuk memperbaiki diri dan ujian standard tersebut boleh meningkatkan motivasi dan daya saing pelajar dalam pembelajaran Matematik.

Pengetua PTE Tutong menyampaikan sijil kepada peserta forum.
Pengetua PTE Tutong menyampaikan sijil kepada peserta forum.
Penolong Ketua Sosiologi di PTE Tutong, membentangkan mengenai memperbaiki penulisan pelajar A Level dan pemikiran kritis dalam mata pelajaran Sosiologi.
Penolong Ketua Sosiologi di PTE Tutong, membentangkan mengenai memperbaiki penulisan pelajar A Level dan pemikiran kritis dalam mata pelajaran Sosiologi.

Menurut Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Awang Almasri selaku tutor menjelaskan bahawa mereka mendapati ujian standard tersebut adalah amat berguna dan lebih berkesan daripada ujian kelas biasa.

Ini kerana guru-guru lebih menjimatkan masa daripada persediaan ujian kelas topikal mereka sendiri dan guru-guru dapat belajar bekerjasama bersama pelajar-pelajar.

Sementara itu, pada majlis itu juga, forum yang disampaikan dari Jabatan Psikologi dan Sosiologi PTE Tutong dapat membantu memahami emosi, hubungan dan tingkah laku pelajar.

Penolong Ketua Sosiologi di PTE Tutong, Dayang Nurul Hadina binti Haji Alias telah membentangkan mengenai memperbaiki penulisan pelajar A Level dan pemikiran kritis dalam mata pelajaran tersebut.

Menurutnya, ‘Menulis dalam sosiologi’ adalah satu bahagian yang wujud dalam proses pembelajaran yang membolehkan ahli-ahli sosiologi untuk melihat pemikiran dan perkembangan intelek para pelajar.

Setelah para pelajar memasuki Tahun 12, keupayaan penulisan mereka tidak mencukupi untuk melengkapkan diri mereka menulis secara kritikal, jelas Dayang Nurul Hadina lagi.

Hasil daripada penyelidikan di bawah Sosiologi, kajian ini mengkaji keberkesanan guru-guru yang mengambil alih peranan penulisan sebagai tenaga pengajar yang menekankan kepada aspek pemikiran kritis dan mampu memberi kesan kepada pelajar dalam bidang Sosiologi.

Sementara itu, dalam satu lagi pembentangan yang sangat berkaitan, Ketua Psikologi, Veronica Chung Ai Wei telah membincangkan mengenai kepentingan Scaffolding Critical Evaluation Skills bagi pelajar-pelajar subjek psikologi.

Forum diakhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta-peserta pembentangan yang disempurnakan oleh Pengetua PTE Tutong, Hajah Murni binti Abdullah.

Bagi guru-guru yang berminat untuk mengetahui dan mendengar sesi forum tersebut, mereka bolehlah menyaksikannya menerusi YouTube di bawah PTET TDP. Pada tahun depan, forum akan diadakan lagi bagi pensyarah-pensyarah yang mengajar subjek Geografi, Sejarah, Seni, ICT Gunaan, Biologi, Kimia dan Business Studies.

ARTIKEL YANG SAMA