Ujian sukar buat Citizens

Ujian sukar buat Citizens

LONDON, 22 Jan (AFP) – Manuel Pellegrini menjangkakan Manchester City bakal berdepan satu lagi ujian sukar bagi memburu gelaran Liga Perdana Inggeris apabila dijadual berdepan pasukan di kedudukan keenam liga, West Ham, Ahad ini.

The Hammers tidak pernah tewas dalam lapan perlawanan liga sebelum tewas kepada Newcastle minggu lalu dan kini berada di kedudukan keenam carta.

Barisan Slaven Bilic dilihat seakan mempunyai pakej kejutan dalam musim yang memperlihatkan pasukan handalan bergelut memburu gelaran dengan Leicester kini berada di belakang pendahulu Arsenal, yang hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Pasukan Pellegrini menundukkan Crystal Palace 4-0 di halaman sendiri yang mana ia adalah kemenangan terbaik mereka pada musim ini.

Namun City, yang ketinggalan satu mata di belakang pendahulu dan berada di kedudukan ketiga, pernah ditewaskan di halaman sendiri oleh The Hammers pada September lalu dan pengurus, Pellegrini jelas sedar dengan kemampuan lawan.

Pellegrini menganggap pertemuan dengan pasukan tangga keenam sebagai ujian sukar dalam memburu gelaran Liga Perdana musim ini. – Reuters
Pellegrini menganggap pertemuan dengan pasukan tangga keenam sebagai ujian sukar dalam memburu gelaran Liga Perdana musim ini. – Reuters

“Saya tidak tahu jika itu adalah kejutan. Kebanyakan pasukan dalam Liga Perdana Inggeris mempunyai pemain yang sangat bagus,” kata Pellegrini mengulas mengenai prestasi mengagumkan dari beberapa pasukan tidak ternama musim ini.

“Sekiranya kamu mempunyai pemain yang bagus dan prestasi bagus selaku sebuah pasukan, saya fikir semua pasukan boleh menewaskan mana-mana pasukan. Perbezaan antara sesebuah pasukan itu sangat kecil.

“Ia memberi lebih kepentingan buat Liga Perdana Inggeris. Kami tidak bercakap hanya mengenai Crystal Palace dan West Ham tetapi saya fikir Leicester dan juga Everton juga sama.”

City akan menentang Everton dalam perlawanan kedua separuh akhir Piala Liga Rabu depan selepas ketinggalan 2-1 daripada pertemuan pertama.

Mereka juga tidak dapat mengalahkan pasukan Merseyside dalam perlawanan liga lebih seminggu yang lalu apabila kedua-dua pasukan seri 0-0 di Eastlands.

City tidak pernah tewas dalam lima perlawanan liga tetapi hanya mengutip 43 mata – separuh daripada jumlah yang mereka berjaya kumpulkan apabila memenangi gelaran pada 2014.

Mereka tidak mungkin meraih 86 mata yang mereka capai sebelum ini atau 89 mata terkumpul apabila memenangi liga dua tahun sebelumnya.

Pellegrini menjangka jumlah mata yang lebih rendah untuk menjadi juara musim ini, tetapi itu bukan keutamaan asalkan City selesai sebagai juara.

“Ini bukan satu liga biasa. Ketika liga berbaki 10 perlawanan, kami pernah mendapat lebih daripada 80 mata – mungkin itu tidak akan berlaku kali ini,” katanya.

“Jadi ia adalah liga yang berbeza dan bukan kes pasukan kami mensia-siakan peluang untuk memenanginya. Ia adalah liga yang kuat. Jika anda menang, ia adalah kerana anda pasukan terbaik. Tidak kira berapa banyak mata.”

City mendapat suntikan dengan kepulangan midfield Fernandinho berikutan kecederaan dan pertahanan Eliaquim Mangala juga kembali ke dalam skuad, sementara kapten Vincent Kompany, midfield Samir Nasri dan penyerang Wilfried Bony masih belum cergas.

Aksi hebat West Ham sejak akhir November – tunduk di Newcastle hujung minggu lalu adalah kekalahan pertama mereka dalam 10 perlawanan – telah melonjakkan pasukan Bilic ke tangga keenam sehingga mencetuskan cakap-cakap mengenai cabaran empat pasukan teratas.

Urusan Bilic dalam pasaran perpindahan bulan ini dapat menentukan sama ada mereka boleh mengekalkan cabaran walaupun bos Hammers menafikan berminat untuk menandatangani penyerang Liverpool Daniel Sturridge.

Bek kanan muda, Sam Byram, tiba dari Leeds tetapi Bilic mengakui pertahanan itu telah dibeli untuk musim depan dengan Mauro Zarate dan Nikica Jelavic boleh meninggalkan kelab.

Zarate dijangka melengkapkan perpindahan ke Fiorentina dan Bilic mengakui akan membawa penyerang baru memandangkan Jelavic juga akan pergi.

“Kami tidak panik. Kami tahu kami mempunyai beberapa pemain yang cedera dan beberapa lagi akan meninggalkan kelab,” katanya.

“Mungkin Zarate, mungkin Jelavic dan jika itu berlaku, dan boleh berlaku, maka kami akan cuba mendapatkan seorang penyerang.”

Premier League matchday 22