Ukraine harus manfaat kepakaran pembuatan Malaysia – Ong

Ukraine harus manfaat kepakaran pembuatan Malaysia – Ong

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Ukraine harus memanfaatkan pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam sektor pembuatan, kata Menteri Perdagangan Antarabansga dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan.

“Sebagai bahagian penting dalam rantaian nilai global, industri pembuatan Malaysia menawarkan pelbagai produk berbeza termasuk komponen perantara yang boleh menyokong industri pembuatan Ukraine.

“Malaysia juga berminat untuk mengeksport perkhidmatan kami, yang kualititinya telah terbukti di pasaran luar negara lain,” katanya pada Forum dan Majlis Makan Tengah Hari Perniagaan Malaysia- Ukraine 2016, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Ukraine Petro Poroshenko.

Majlis makan tengah hari perniagaan itu, yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan (NCCIM) dan Kedutaan Ukraine di Malaysia, merupakan sebahagian daripada program lawatan tiga hari Poroshenko keMalaysia yang bermula semalam.

Poroshenko (tengah) semasa sesi soal jawab pada program ‘Malaysia-Ukraine Business Forum’ di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini. Turut hadir Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia Datuk Wira Jalilah Baba dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan (kanan). – Bernama
Poroshenko (tengah) semasa sesi soal jawab pada program ‘Malaysia-Ukraine Business Forum’ di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) hari ini. Turut hadir Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia Datuk Wira Jalilah Baba dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan (kanan). – Bernama

Ong berkata ketika ini terdapat syarikat dan usahawan Malaysia yang beroperasi di Ukraine menerusi kerjasama perniagaan dalam pertanian, mesin dan bahagian-bahagian helikopter serta bekalan lampu LED. “Buat masa sekarang jumlah pelaburan mungkin kecil tetapi terdapat potensi pertumbuhan.

“Saya berharap acara hari ini akan menggalakkan lebih banyak perniagaan Ukraine untuk menimbang Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” katanya.

Pada 2015, Malaysia mengeksport minyak sawit bernilai RM414.6 juta ke Ukraine, diikuti makanan diproses (RM55.5 juta) produk kimia (RM43.9 juta) manakala dua import terbesar Malaysia dari Ukraine ialah gandum (RM177.4 juta) dan minyak bunga matahari (RM98.1 juta).

Bagaimanapun, jumlah perdagangan dengan Ukraine merosot 15.8 peratus tahun lepas kepada RM1.01 bilion daripada RM1.2 bilion pada 2014, disebabkan terutamanya persekitaran ekonomi luar yang mencabar.

Sementara itu, Naib Presiden NCCIM Datuk Wira Jalilah Baba berkata majlis makan tengah hari perniagaan itu akan menyediakan ruang bagi syarikat Malaysia untuk memahami cabaran dan peluang yang tersedia di Ukraine. – Bernama