Ukraine mara ke final Piala Hopman

Ukraine mara ke final Piala Hopman

PERTH, Australia, 7 Jan – Kemenangan menerusi Alexandr Dolgopolov dan Elina Svitolina hari ini membolehkan Ukraine melangkah ke pertandingan akhir Piala Hopman ketika keduanya berganding untuk menewaskan Australia Gold 2-0.

Pertandingan edisi ke-28 itu menandakan kemunculan pertama bagi pasukan Ukraine sejak 1995, dengan kedua pemain memastikan laluan selamat ke persaingan gelaran pada Sabtu lalu.

Suhu yang mencecah 40 Celsius dengan bumbung terbuka di arena Perth, tidak menghalang kemenangan tersebut.

Dolgopolov menyingkirkan pemain veteran dari Australia, Lleyton Hewitt 4-6, 6-3, 6-4 susulan selepas pemain nombor 19 dunia, Svitolina mencatatkan kemenangan ketiga set straight minggu ini, menewaskan Jarmila Wolfe 6-3, 6-3.

Pesaing terakhir akan muncul esok dalam pertandingan kumpulan terakhir, dengan Australia Green (Nick Kyrgios, Daria Gavrilova) menentang Perancis, dan Britain bertemu Jerman.

Dalam pertemuan lewat hari ini, Republik Czech akan bertemu AS.

Dolgopolov tidak pernah bertemu Hewitt, 34, yang akan bersara dan mengambil alih sebagai kapten Piala Davis apabila persaingannya dalam Terbuka Australia berakhir dalam masa beberapa minggu.

“Saya berasa gembira dengan kemenangan saya. Saya berada di bawah tekanan dengan Elina memenangi kesemua pertandingan perseorangannya, jadi saya perlu meningkatkannya,” kata Dolgopolov pemain nombor 36 dunia. “Ia menarik untuk berada dalam final, ia akan menyeronokkan.”

Pemain muda itu berkata dia tahu dia akan bersaing bagi persaingan ketika dia menghadapi pemain legenda Hewitt, 34. “Dia akan berada dalam kepala anda, anda mula melakukan kesilapan,” kata Dolgopolov.

“Ia adalah apa yang berlaku pada akhirnya, saya berpeluang untuk menamatkan dengan 5-3, tetapi saya terlepas voli mudah dan kemudian anda dalam keadaan tegang kerana anda tahu dia akan membalas balik pukulan.”

“Anda tahu apabila anda berada di atas gelanggang dia akan bersaing. Saya menunggu untuk itu dan saya gembira saya tidak menyerahkannya (persaingan).” – dpa