UKVI buat perubahan

UKVI buat perubahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam memaklumkan bahawa Visa dan Imigresen United Kingdom (UKVI) telah memperkenalkan perubahan kepada pengendalian visa UK di Brunei selaras dengan pengurusan visa di negara-negara lain di rantau ini.

Bermula esok (1 Disember 2015), tempat permohonan UKVI akan dipindah dari Pejabat Suruhanjaya Tinggi British ke Regus, Tingkat 8, Bangunan PGGMB di ibu negara, di mana ia akan dikendalikan oleh VFS Global, iaitu rakan komersialnya di seluruh rantau Asia Pasifik.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi British, baru-baru ini, perpindahan ini akan memberi kesan kepada rakyat Brunei yang hendak melanjutkan pelajaran, bekerja dan menetap di UK serta visa rakyat dari negara lain.

Rakyat Brunei biasanya tidak memerlukan visa untuk berkunjung ke UK bagi tempoh kurang daripada enam bulan jika mereka tidak berniat untuk bekerja dan berkahwin di negara itu.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah ini akan membantu UKVI memenuhi komitmen globalnya untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada semua pelanggannya di seluruh dunia.

UKVI akan menawarkan sistem janji temu yang fleksibel yang akan menyesuaikan permintaan visa sepanjang tahun, terutamanya ketika musim puncak bagi permohonan pelajar.

Suruhanjaya berkenaan turut memaklumkan bahawa permohonan visa kini memerlukan bayaran 52 pound sebagai tambahan kepada harga visa bagi menggunakan tempat permohonan itu.

Bayaran ini akan termasuk penghantaran balik pasport pemohon ke alamat yang dikehendaki, bermakna mereka tidak lagi perlu mengambilnya sendiri.

Aturan baru ini akan membolehkan UKVI memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi, memfokuskan kepada pelanggan dan lebih mudah dicapai, yang memenuhi keperluan semua pemohon di Brunei.

UKVI kini menawarkan lebih 100 hari janji temu setiap tahun, yang diadakan sepanjang tahun bagi menyesuaikan permintaan visa yang beza-beza. Tarikh bagi klinik-klinik ini akan diumumkan lebih awal oleh penyedia komersial VFS Global.

Pusat permohonan visa itu akan dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang, tetapi waktu operasi akan dilanjutkan ketika tempoh puncak bagi memastikan terdapat janji temu yang mencukupi bagi para pelanggan.

Maklumat lanjut mengenai permohonan visa boleh didapati di laman sesawang www.gov.uk/check-uk-visa.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Tinggi British dalam kenyataannya turut memberitahu bahawa bagi tempoh sehingga Jun 2015, UK telah mengeluarkan 1,064 visa kepada rakyat Brunei dengan 872 daripadanya adalah visa pelajar dan 99 peratus permohonan berjaya.

ARTIKEL YANG SAMA