Ulama Saudi baharui fatwa mengenai ‘Pokemon Go’

Ulama Saudi baharui fatwa mengenai ‘Pokemon Go’

DUBAI, Emiriah Arab Bersatu, 20 Julai – Ulama tertinggi Arab Saudi telah memperbaharui fatwa yang menegah bermain Pokemon, kali ini sebagai aplikasi di telefon pintar dikenali sebagai ‘Pokemon Go’.

Pertama kali dikeluarkan pada 2001, apabila permainan itu dimainkan dengan kad-kad, fatwa berkenaan menyatakan bahawa Pokemon mencabuli larangan ke atas perjudian, menggunakan simbol-simbol seperti masuni dan mempromosikan imej-imej larangan.

Fatwa berkenaan, muncul semula pada laman utama portal bagi dekri-dekri negara berkenaan.

Arab News yang berpangkalan di Arab Saudi, hari ini, melaporkan bahawa Sheikh Saleh al-Fozan, salah seorang ahli majlis ulama-ulama kanan yang ultra konservatif di negara itu, berkata bahawa versi terkini permainan berkenaan sama dengan yang lama.

Walaupun belum lama diperkenalkan, permainan memburu raksasa alam maya ini telah menjadi kegilaan ramai bukan sahaja di negara-negara di mana ia telah dilancarkan secara rasmi, malah di seluruh dunia sehingga menarik pelbagai reaksi daripada berbagai-bagai pihak.

Kegilaan bermain ‘Pokemon Go’ telah merebak secara meluas dan mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa Indonesia untuk melarang permainan itu di kawasan istana presiden. - AP
Kegilaan bermain ‘Pokemon Go’ telah merebak secara meluas dan mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa Indonesia untuk melarang permainan itu di kawasan istana presiden. – AP

Di Indonesia, permainan berkenaan telah dilarang di istana presiden, dengan tanda-tanda amaran melarang permainan itu dilekatkan di sekitar kompleks istana berkenaan di Jakarta, hari ini.

Selain itu, anggota dan kakitangan polis serta tentera negara itu juga dilarang daripada bermain permainan tersebut ketika bertugas, berikutan kebimbangan para pegawai atasan mengenai risiko keselamatan.

‘Pokemon Go’ yang menggunakan Google Maps dan telefon pintar untuk memapar realiti dengan makhluk Pokemon, telah menjadi satu kegilaan di Amerika Syarikat dan juga di negara-negara lain.

Meskipun ia belum dilancarkan di Indonesia, tetapi ia sudah pun popular di sana. Isnin lalu, polis Indonesia telah menahan seorang lelaki Perancis selepas dia menceroboh sebuah pangkalan tentera di bandar Jawa Barat ketika memburu makhluk Pokemon.

Sementara itu, di Bosnia, para pemain ‘Pokemon Go’ digesa supaya mengelakkan kawasan-kawasan yang dipenuhi periuk api tinggalan konflik 1990an.

Gesaan ini dibuat berikutan laporan mengenai beberapa pemain pergi ‘memburu’ di kawasan-kawasan berisiko mempunyai periuk api. – AP/AFP

ARTIKEL YANG SAMA