Ulang kaji, niat untuk berjaya

Ulang kaji, niat untuk berjaya

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 19 Mei – Lebih 80 orang murid-murid sekolah agama, telah menyertai Program Keagamaan Senegara Persekolahan Ugama dan Arab bagi Bulan Mei 2016 Masihi/ 1437 Hijrah dan bagi Daerah Belait ia diadakan di Sekolah Ugama Sungai Liang di sini, hari ini.

Program tersebut telah dibahagikan kepada dua fasa, iaitu fasa pertama bagi murid-murid Pra 1, Darjah 4 hingga 6 seramai 76 murid lelaki dan 60 murid perempuan bermula jam 2 petang hingga 2:30, manakala fasa kedua bermula jam 3:30 hingga 4 petang melibatkan 26 murid lelaki dan 21 murid perempuan dari Darjah 2 dan 3 sekolah tersebut.

Majlis diadakan di dewan serba guna sekolah itu telah dimulakan dengan sembahyang Zohor berjemaah, diikuti dengan sembahyang Sunat Hajat, kemudian bacaan Surah Yasin, Doa Peperiksaan, dan Tazkirah mengenai persiapan peperiksaan setengah tahun sekolah ugama di seluruh negara.

Tazkirah yang disampaikan oleh Awang Nazirul Adib bin Haji Anwar, antara lain memberikan tip dan langkah-langkah yang sewajarnya diambil perhatian oleh setiap pelajar seperti menumpukan terhadap pelajaran dengan mengetepikan perkara-perkara yang tidak penting dan membuang masa, selain mengulang kaji pelajaran dengan niat untuk berjaya yang disertai dengan keikhlasan.

Awang Nazirul Adib ketika menyampaikan tazkirah Program Keagamaan Senegara bagi bulan Mei di Sekolah Ugama Sungai Liang.
Awang Nazirul Adib ketika menyampaikan tazkirah Program Keagamaan Senegara bagi bulan Mei di Sekolah Ugama Sungai Liang.

Beliau juga menekankan, para pelajar perlu sentiasa menyemak jadual peperiksaan kerana ia sangat penting, serta sentiasa berfikiran positif dan menghindari rasa tertekan, para pelajar juga perlu bersedia dengan keperluan peperiksaan, memohon restu dan maaf daripada kedua ibu bapa serta guru yang mengajar.

“Para pelajar juga tidak boleh terlalu banyak ketawa dan bergurau senda yang melampau, kerana ia boleh menyebabkan pertukaran cecair kimia badan yang menyebabkan fikiran akan terganggu, dan hendaklah menjaga pemakanan agar tidak mengganggu kesihatan serta memperbanyakkan berdoa dan bertawakal kepada Allah,” ujarnya. Tazkirah kemudian diakhiri dengan bacaan Doa Hari Keluarga dan diakhiri Doa Peliharakan Sultan.

Program yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam itu membawa tema ‘Persiapan Menghadapi Peperiksaan’ menumpukan mengenai langkah-langkah dan amalan yang wajar diambil perhatian oleh setiap pelajar sebelum menghadapi peperiksaan seperti Sembahyang Sunat Hajat berjemaah, membaca Surah Yasin dan Doa Peperiksaan serta Doa Khas Keluarga.