Ulang tahun Kemerdekaan Indonesia disambut meriah

Ulang tahun Kemerdekaan Indonesia disambut meriah

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam meraikan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-70 dengan Majlis Resepsi Makan Malam di salah sebuah hotel di Gadong, hari ini.

Hadir mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nurul Qomar dalam ucapannya berkata sejak penubuhannya 31 tahun yang lalu, hubungan dan kerjasama dua hala di antara Indonesia dan Brunei Darussalam terus kukuh dalam sebuah bidang.

Menurut beliau, Presiden Joko Widodo telah mengadakan lawatan ke Brunei pada Februari lalu di mana kedua-dua buah negara menekankan komitmen untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dan ini dapat dilihat menerusi penandatanganan Memorandum Persefahaman mengenai Kesihatan dan Kerjasama Dewan Perdagangan.

Beliau seterusnya menambah, Indonesia dan Brunei Darussalam juga mempunyai kerjasama rapat dalam mekanisme Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), terutamanya kini apabila ASEAN hampir kepada penubuhan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin ketika memotong kek Ulang Tahun Hari Kemerdekaan dengan Puan Yang Terutama Nurul Qomar serta ketua-ketua perwakilan negara ASEAN di sini.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin ketika memotong kek Ulang Tahun Hari Kemerdekaan dengan Puan Yang Terutama Nurul Qomar serta ketua-ketua perwakilan negara ASEAN di sini.
Warga Indonesia yang turut hadir memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan itu.
Warga Indonesia yang turut hadir memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan itu.

“Saya yakin bahawa hubungan dua hala di antara Indonesia dan Brunei Darussalam akan terus diperkukuhkan untuk faedah bersama bukan saja untuk rakyat kedua-dua buah negara tapi untuk kedamaian dan keamanan rantau.”

Satu aspek dalam hubungan dua hala antara Indonesia dan Brunei Darussalam, jelas Puan Yang Terutama, adalah kehadiran puluhan ribu rakyat Indonesia yang tinggal dan bekerja di negara ini yang mana ia merupakan warga asing terbesar di Brunei.

“Dalam hal ini, saya bagi pihak Kerajaan Indonesia melahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam atas penerimaan mesra terhadap warga Indonesia yang tinggal dan bekerja di sini,” tambah beliau.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam diikuti Republik Indonesia.

Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin dan Puan Yang Terutama berserta ketua-ketua perwakilan negara ASEAN di negara ini turut memotong kek Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA