Ulang tahun pengasas Bangladesh diingati

Ulang tahun pengasas Bangladesh diingati

Oleh Siti Nur Wasimah S. & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Negara Brunei Darussalam hari ini mengadakan Hari Perkabungan Negara sempena memperingati ulang tahun ke-41 kematian pengasas Bangladesh, Bangabandu Sheikh Mujibur Rahman yang diadakan di bangunan suruhanjaya berkenaan di Kampung Sungai Akar.

Majlis diisikan dengan pengibaran bendera separuh tiang pada sebelah pagi tadi kemudian diikuti pada sebelah petang dengan majlis tahlil dan perbincangan bagi mengenang jasa yang telah disumbangkan oleh Sheikh Mujibur Rahman kepada negara itu.

Pada majlis pagi tadi, upacara menaikkan bendera separuh tiang telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Mohammed Abdul Hye sambil disaksikan oleh para pegawai dan kakitangan suruhanjaya tinggi, para jemputan lain dan warganegara Bangladesh di negara ini.

Mohammed Abdul Hye berkata, majlis berkenaan merupakan acara tahunan yang diadakan bagi menandakan penghargaan dan penghormatan kepada Bangabandu Sheikh Mujibur Rahman bersama ahli-ahli keluarganya yang telah dibunuh pada 15 Ogos 1975.

Jelasnya lagi, Sheikh Mujibur Rahman merupakan presiden pertama Bangladesh yang penyayang, taat dan setia kepada negaranya.

Mohammed Abdul Hye semasa upacara menaikkan bendera kebangsaan Bangladesh separuh tiang.
Mohammed Abdul Hye semasa upacara menaikkan bendera kebangsaan Bangladesh separuh tiang.
Antara yang hadir pada majlis itu.
Antara yang hadir pada majlis itu.

Pada majlis itu juga, Mohammed Abdul Hye menyentuh mengenai perjuangan dan pencapaian Bangabandu Sheikh Mujibur Rahman.

Majlis kemudiannya menyaksikan Mohammed Abdul Hye menyampaikan ucapan daripada Presiden Bangladesh, Abdul Hamid; Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina; Menteri Hal Ehwal Luar Bangladesh, Abdul Hassan Mahmood Ali; dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar, Mohammed Shahriar Alam kepada lebih daripada 50 orang warganegara Bangladesh yang bekerja dan menetap di negara ini yang menghadiri majlis pagi tadi.

Pada sebelah petang, Mohammed Abdul Hye turut menghadiri majlis tahlil dan perbincangan bagi mengenang jasa Sheikh Mujibur Rahman.

Mengimbas kembali sejarah Sheikh Mujibur Rahman ini, mendiang merupakan pejuang yang tidak takut kepada pergerakan bahasa pada tahun 1952 selain pelopor pergerakan demokrasi pada tahun 1962 dan pengasas pergerakan enam mata pada 1966. Di samping semua itu, beliau juga merupakan wira yang paling besar semasa Perang Pembebasan pada 1971 dan arkitek yang dipertikaikan semasa kemerdekaan Bangladesh.

ARTIKEL YANG SAMA