Ultraman muncul di KBSentral 24 Jan ini

Ultraman muncul di KBSentral 24 Jan ini

Oleh Anwar Rosly

Gambar Oleh KBSentral

 

KUALA BELAIT, 22 Jan – Watak-watak wira Ultraman yang diundang khas dari Jepun oleh Human Capacity Building (HCB) Consultancy Service akan membuat kemunculan di Pusat Membeli-Belah KBSentral di sini, pada 24 Januari ini, selepas membuat kemunculan di beberapa tempat di Daerah Brunei dan Muara.

Pada hari itu nanti, Ultraman Zero, Ginga dan Tiga akan membuat penampilan pada empat waktu berbeza selama 30 minit bagi sesi bergambar bersama pengunjung dan peminat, iaitu pada pukul 12:30 tengah hari, 4:30 petang, 5:30 petang dan 8 malam.

Antara acara kemuncak penampilan itu adalah peluang untuk membeli tiket menyaksikan pertunjukan Ultraman Live di Brunei 2016, yang akan diadakan pada 18 hingga 28 Mac 2016 di Amfiteater Taman Permainan Jerudong.

Tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan berkenaan dijual pada harga $28, $38 dan $50, bagaimanapun, orang ramai boleh mendapatkannya pada harga promosi masing-masing $25, $35 dan $45 jika membelinya sebelum 6 Februari. Di samping itu, mereka yang membeli tiket $45 akan diberi jam Ultraman secara percuma.

Ultraman ketika membuat kemunculan di Times Square baru-baru ini.
Ultraman ketika membuat kemunculan di Times Square baru-baru ini.

Manakala itu, semasa acara di pusat membeli-belah itu pelanggan yang menunjukkan resit pembelian minimum $30 daripada mana-mana kedai di bawah KBSentral akan berpeluang mengambil gambar dengan watak Ultraman kegemaran mereka pada masa-masa yang telah ditetapkan berikut dan keutamaan untuk mengambil gambar akan diberikan kepada pelanggan yang membeli tiket Ultraman pada hari itu .

Selain itu, kuiz juga akan diadakan untuk orang ramai di mana mereka berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah dan mendapatkan harga diskaun untuk tiket persembahan.

Untuk lebih banyak maklumat terkini mengenai siri jelajah yang akan datang, bolehlah menghubungi penganjur di talian 7237477 atau 8297890. Orang ramai juga boleh mengikuti akaun Facebook dan Instagram ‘UltramanLiveInBrunei2016’.

ARTIKEL YANG SAMA