Ultraman temui peminat 18 Mac depan

Ultraman temui peminat 18 Mac depan

Oleh James Kon

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – ­ Para peminat Ultraman di negara ini akan berpeluang melihat lebih dekat wira-wira Jepun itu apabila mereka membuat kemunculan di Amfiteater Taman Permainan Jerudong bermula 18 hingga 28 Mac depan.

Dianjurkan oleh Human Capacity Building Consultancy Service, pelancaran acara ‘Ultraman Live in Brunei 2016’ itu dijadualkan berlangsung pada 7:30 malam pada 16 Januari di Kompleks Membeli-belah Times Square.

Menurut jurucakap Human Capacity Building Consultancy Service, acara itu bertujuan untuk menarik pengunjung dari negara-negara jiran ke Brunei, dan juga sebagai galakan bagi penduduk tempatan untuk berada di dalam negara ketika cuti penggal persekolahan.

Tahun lalu, konvensyen Ultraman telah berjaya diadakan di Genting, Malaysia, yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Dijadualkan membuat kemunculan pada acara Mac itu nanti ialah Ultraman, Ultraman Zero, Ultraman Tiga, Ultraman Ginga, Ultraman Taro, Ultraman Seven, Ultraman Mebius dan Ultraman Cosmos (Luna model). Sementara itu, antara barisan watak-watak jahat ialah Alien Baltan, Tyrant, Red King, Golza, Chaos dan Monster Booska.

Poster promosi ‘temu janji’ Ultraman di Brunei Darussalam.
Poster promosi ‘temu janji’ Ultraman di Brunei Darussalam.

Menurut penganjur, Ultraman Zero, Ultraman Tiga dan Ultraman Ginga akan membuat penampilan istimewa ketika majlis pelancarannya untuk mempromosikan acara berkenaan dan akan membuat pelbagai aktiviti beberapa hari berikutnya.

Jerayawara-jerayawara juga dijadualkan di beberapa buah tempat, termasuk Bintang Shopping Mall di Miri pada 22 dan 23 Januari. Selain itu, promosi pengunjung awal juga akan diadakan pada 16 Januari hingga 6 Februari.

Diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, acara ini disokong oleh Times Square, KBSentral dan Hotel Parkview sebagai lokasi acara rasmi.

Bagi maklumat lanjut, para peminat boleh mengikuti ‘Ultraman Live In Brunei 2016’ di Facebook.