Umat Islam di M’sia, Indonesia mula berpuasa

Umat Islam di M’sia, Indonesia mula berpuasa

KUALA LUMPUR/JAKARTA, 5 Jun – Umat Islam di Malaysia dan Indonesia akan memulakan puasa bulan Ramadan esok (6 Jun).

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkannya berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Isnin, 6 Jun 2016, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam Ahad.

Sementara itu, kerajaan Indonesia turut mengumumkan anak bulan Ramadan kelihatan di beberapa daerah di republik itu, hari ini. Penetapan tarikh berpuasa berdasarkan kepada sidang isbat bersama-sama tokoh-tokoh agama yang diadakan secara tertutup selepas solat Maghrib di Indonesia.

Menteri Agama Lukman Hakim, dalam satu kenyataan yang disiarkan secara langsung oleh siaran-siaran televisyen tempatan, berkata penetapan tarikh itu dipersetujui oleh sidang isbat setelah menerima laporan bahawa anak bulan telah kelihatan di beberapa kawasan di Indonesia. – Bernama