Umat Islam mula puasa esok

Umat Islam mula puasa esok

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bahawa Negara Brunei Darussalam akan memulakan bulan puasa Khamis ini, 18 Jun.

Pengumuman mengenai penglihatan anak bulan Ramadan disiarkan menerusi Radio dan Televisyen Brunei.

Upacara melihat anak bulan Ramadan 1436 hijrah dijalankan oleh hakim-hakim Syar’ie, dan pegawai-pegawai Jabatan Kehakiman Negara, pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan di beberapa tempat yang ditentukan petang ini dan telah tidak berhasil melihat anak bulan Ramadan 1436 Hijrah.

Yang Arif, Yang Dimuliakan Pehin Pemangku Ketua Hakim Syarie telah mensabitkan dan mengesahkan bahawa anak bulan Ramadan itu tidak kelihatan.

Maka berdasarkan hukum syarak disebabkan anak bulan Ramadhan 1436 Hijrah telah tidak sabit dilihat, bulan Syaaban 1436 Hijrah wajib digenapkan 30 hari.

Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah melihat teropong untuk melihat anak bulan Ramadan. – Gambar oleh Dean Kassim
Pengarah Pentadbiran, Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah melihat teropong untuk melihat anak bulan Ramadan. – Gambar oleh Dean Kassim

Sehubungan itu umat Islam di negara ini akan mula mengerjakan ibadah puasa pada hari berkenaan dan solat sunat tarawih diikuti dengan solat witir serta bertadarus di masjid-masjid akan bermula pada malam esok.

Sementara pada sebelah petang ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Majlis Keagamaan bagi Menunggu Hasil Merukyah Awal Bulan Ramadan 1436H yang berlangsung di dewan bangunan tambahan, kementerian berkenaan untuk bersama-sama menunggu hasil usaha Merukyah Awal Bulan Ramadhan 1436H dari tempat-tempat yang telah ditentukan di seluruh negara, iaitu di Menara DST, Lebuhraya Tungku, Bukit Agok, Jerudong di Daerah Brunei dan Muara, Bukit Lumut di Belait dan Bukit Ambok di Tutong.

Hadir bagi menyerikan majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar. Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh guru agama Jabatan Pengajian Islam, Haji Hendra bin Haji Meraji dan seterusnya diikuti dengan persembahan tausyeh oleh guru, pegawai dan kakitangan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Aziz bin Haji Gani dan seterusnya mengimamkan sembahyang Maghrib berjemaah.

ARTIKEL YANG SAMA