Umat Islam perlu sedia berkorban, kata Fadillah

Umat Islam perlu sedia berkorban, kata Fadillah

KUCHING, 12 Sept – Umat Islam perlu sentiasa bersedia untuk melakukan pengorbanan demi memperkukuhkan akidah serta mengelak daripada melakukan kejahatan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di sini hari ini.

Beliau berkata semangat pengorbanan bukan sahaja untuk memperkukuhkan iman seseorang Muslim, malah dapat memastikan negara kekal aman, stabil dan makmur.

Beliau berkata demikian kepada media sebelum menyampaikan lembu dan kambing korban untuk diagihkan kepada beberapa masjid dan surau di kawasan Parlimen Petrajaya di sini hari ini.

Menurut Fadillah, tahun ini beliau menyerahkan 45 ekor lembu dan kambing, iaitu jumlah terbesar yang pernah diberikan untuk kawasannya.

Menteri Kerja Raya Malaysia melapah daging lembu yang disedekahkan oleh beliau pada Majlis Korban Aidiladha Parlimen Petra Jaya di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma di Kuching kelmarin. – Bernama
Menteri Kerja Raya Malaysia melapah daging lembu yang disedekahkan oleh beliau pada Majlis Korban Aidiladha Parlimen Petra Jaya di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma di Kuching kelmarin. – Bernama

“Saya berterima kasih kepada mereka yang menyumbang termasuk badan-badan korporat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr. Sim Kui Hian, berkata ini merupakan sambutan Hari Raya Korban pertamanya di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah.

Sim yang memenangi kerusi DUN berkenaan pada pilihan raya negeri awal Mei lepas menyerahkan 11 ekor lembu kepada empat masjid dan tujuh surau.

Sim yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berikrar untuk terus menghulurkan sumbangan (lembu) setiap tahun. – Bernama