Umat Islam perlu tangani isu Islamophobia

Umat Islam perlu tangani isu Islamophobia

SIPITANG, 24 Dis (Bernama) – Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata dalam mendepani isu Islamophobia dan penghinaan terhadap agama, umat Islam perlu kembali kepada ajaran fundamental Islam dan berusaha mencapai piawaian ‘khaira ummah’.

“Menjadi kewajipan setiap Muslim menyumbang dengan kadar kemampuannya bagi membetulkan semula persepsi salah terhadap Islam dan yang disalahertikan.

“Inilah perjuangan yang bukan sahaja memerlukan komitmen dan kesungguhan, malah menuntut kebijaksanaan yang tinggi bagi menghadapi segala cabaran mendatang selain kebijaksanaan dalam pengurusan secara holistik,” katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul di sini hari ini.

Beliau berkata cara terbaik untuk merealisasikan perkara itu adalah dengan mencontohi Rasulullah SAW dalam segenap segi kehidupan.

Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Hajah Norlidah serta Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Seri Hajah Faridah Haji Tussin mengetuai perarakan lebih 15,000 masyarakat Islam sekitar Sipitang, Beaufort dan Papar serta Kota Kinabalu sempena sambutan Maulidur Rasul kelmarin. – Bernama

Juhar berkata Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik yang bersifat universal dengan keseluruhan kehidupan baginda dapat dijadikan ikutan dan contoh di sepanjang zaman.

Sementara itu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam ucapannya berkata risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW tidak pernah menolak kemajuan dan perubahan kerana ia adalah fitrah kehidupan.

Ini adalah kerana kemajuan yang dianjurkan oleh Islam adalah mengukuhkan lagi asas aqidah, amalan ibadah dalam konteks yang lebih luas, katanya.