UMNO Sabah akan hayati mesej presiden

UMNO Sabah akan hayati mesej presiden

KOTA KINABALU, 1 Dis – UMNO Sabah akan pastikan semua mesej dan penegasan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 hari ini, dihayati dan diterjemahkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata ucapan dasar itu penting untuk semua pemimpin dan anggota parti hayati.

“Kita dalam UMNO Sabah, walaupun sebagai adik bongsu dalam keluarga besar UMNO, akan terus bekerja keras dan turun padang menyelami dan menyantuni nurani rakyat yang memberikan kepercayaan kepada kita.

Kita juga akan pastikan semua mesej dan penegasan presiden parti akan dihayati dan diterjemahkan oleh UMNO Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata prinsip wala’ dan kesetiaan yang ditekankan oleh perdana menteri dalam ucapan dasar itu akan mengupayakan UMNO mendepani pelbagai cabaran mendatang. Mengenai pengiktirafan terhadap UMNO Sabah bagi kejayaan memperoleh keanggotaan UMNO paling ramai, Musa yang juga ketua menteri Sabah berterima kasih atas pengiktirafan itu dan mengakui tidak ada rahsia atau petua dalam mencapai kejayaan itu.

“Tidak ada juga jalan mudah untuk UMNO Sabah sampai ke tahap yang ada sekarang. Yang penting kita terus bekerja keras, turun padang, setia kepada parti dan pemimpin. Kita ikhlas, kita buktikan jasa dan sumbangan UMNO menerusi agenda pembangunan yang kita laksanakan kepada rakyat Sabah. Insya-Allah rakyat akan sedar, memahami dan memberikan sokongan serta menyertai kita dalam perjuangan UMNO ini,” katanya.– Bernama