Umpama neraka

Umpama neraka

TAIPE1, 28 Jun (Agensi) – Lebih 500 orang tercedera, hampir 200 dari mereka itu cedera parah dan dimasukkan ke pusat rawatan rapi (ICU), apabila letupan melanda orang ramai yang berada di taman air berhampiran bandar Taipei, Taiwan, menurut pihak berkuasa hari ini. Sebuah pentas terbakar ketika serbuk mudah terbakar meletup di udara di Farmosa Water Park di New Taipei.

Saksi-saksi menggambarkan suasana di taman itu umpama ‘neraka’ selepas bola api menyambar orang ramai yang penuh sesak. Kira-kira 1,000 orang menyertai pesta Colour Play Asia di mana serbuk berwarna disemburkan ke arah orang ramai, kata Agensi Berita Pusat Taiwan.

Rakaman filem amatur yang menakutkan menunjukkan kumpulan anak-anak muda menari-nari di hadapan sebuah pentas sambil bersorak gembira apabila serbuk berwarna hijau dan kuning disemburkan ke atas mereka pada ‘pesta warna-warni itu.’

Bagaimanapun, keseronokan mereka bertukar menjadi bencana apabila serbuk itu tiba-tiba meletup dan terbakar dengan bola api menyambar mereka yang berlari lintang pukang menyelamatkan diri.

Ada di antara mereka hanya memakai bikini dan gambar-gambar dari lokasi kejadian menunjukkan ramai mangsa mengalami melecur teruk dan dirawat oleh mereka yang terselamat.

Gambar yang diambil dari rakaman video seorang pembaca Apple Daily, Cik Huang menunjukkan orang ramai disambar api di Farmosa Water Park di New Taipei, kelmarin. – AFP
Gambar yang diambil dari rakaman video seorang pembaca Apple Daily, Cik Huang menunjukkan orang ramai disambar api di Farmosa Water Park di New Taipei, kelmarin. – AFP

Seorang pelajar lelaki yang terselamat dan mengalami cedera ringan menggambarkan suasana ketika kejadian umpama ‘neraka.’

Bilangan mereka yang tercedera dalam letupan itu yang berlaku apabila serbuk berwarna disembur kepada mereka yang menghadiri pesta itu menyala lewat semalam, lebih dua kali ganda ketika pihak berkuasa mula mengesan para mangsa yang sendiri pergi ke hospital atau dibawa ke hospital oleh orang lain.

Gambar pada laman sesawang surat akhbar Apple Daily menunjukkan orang ramai menari ketika muzik dimainkan dan kepulan serbuk disembur yang tiba-tiba menjadi api yang melanda para penonton.

Para pengunjung pesta yang ketakutan dilihat berlari menyelamatkan diri, berteriak ketika mereka diselubungi api. Sebilangan mereka hanya memakai pakaian mandi dan ditutupi serbuk berwarna.

Kereta ambulans bergegas dihantar ke tempat kejadian, dan bilangan sebenar hanya mengira mereka yang dimasukkan ke hospital oleh perkhidmatan kecemasan.

Para mangsa dibawa pergi dengan gegelung getah dan dingi boleh kembung ketika rakan-rakan dalam keadaan terdesak berusaha mengeluarkan mereka.

Orang yang berada di tempat kejadian mencurah berbotol-botol air ke arah kulit mangsa-mangsa yang terbakar.

Jejak-jejak tapak kaki berdarah dari pentas masih dapat dilihat, menurut seorang pemberita AFP yang berada di tempat kejadian.

Kebakaran dapat dipadamkan cepat, menurut pihak berkuasa.

Seorang saksi lelaki memberitahu saluran berita tempatan CTI: “Ia bermula di sebelah kiri pentas. Pada mulanya saya menyangka itu adalah sebahagian kesan khas pesta itu tetapi kemudian saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena dan orang ramai mula berteriak dan berlari.”