UMS melonjak ke ranking 173 terbaik dunia

UMS melonjak ke ranking 173 terbaik dunia

KOTA KINABALU, 25 Jan – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melonjak 72 anak tangga untuk tersenarai menduduki ranking ke-173 terbaik dunia dalam penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2015, bagi kelestarian alam sekitar.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata peningkatan itu amat membanggakan kerana pada tahun sebelumnya berada di kedudukan 245 terbaik dunia.

“Pencapaian merupakan satu kebanggaan bagi warga UMS yang kini berada di landasan tepat ke arah mencapai pelbagai kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata UMS mampu meningkatkan lagi ranking berdasarkan usaha giat dijalankan khususnya dalam aktiviti berkaitan kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar.

“Pelbagai aktiviti mesra alam sekitar yang kami laksanakan seperti penggunaan tenaga yang cekap serta peningkatan fasiliti dan penggunaan basikal di kampus selain pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran atau penyelidikan,” katanya.

Mohd Harun berkata penubuhan Pusat Kitar Semula di kampus UMS dan konsep ‘ecofarm’ yang bakal dipraktikkan di universiti itu akan menjadi kekuatan melonjakkan penarafan ranking tahun ini.

Penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2015 yang diumumkan baru-baru ini disertai 407 universiti daripada 66 negara menyaksikan UMS berada di ranking ketujuh bagi Universiti Awam dan Swasta di Malaysia dengan Universiti Putra Malaysia berada di kedudukan ranking pertama. – Bernama