UMS, MOSTI sedia anjur program berkaitan siber

UMS, MOSTI sedia anjur program berkaitan siber

KOTA KINABALU, 10 Ogos – Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam menganjurkan program berkaitan siber untuk memberi pendedahan dan kemahiran teknologi komunikasi kepada rakyat negeri ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Dr Shahril Yusof berkata kerjasama seumpama itu sangat dialu-alukan kerana ia membolehkan UMS terlibat secara langsung dengan aktiviti khidmat masyarakat, sekali gus menjadi wadah kepada universiti berkenaan berbakti kepada komuniti setempat.

“UMS menawarkan kepada MOSTI agar Fakulti Komputeran dan Informatik menjadi tumpuan untuk menjalankan akti-viti bersama dengan penduduk Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ops Jelajah Cyber 2.0, di sini hari ini.

Katanya, UMS mempunyai infrastruktur seperti perkakasan, perisian serta sumber manusia dan perkara itu boleh memudahkan lagi pihak MOSTI bekerjasama dengan universiti itu bagi melaksanakan program latihan berkaitan siber untuk rakyat Sabah.

Beliau berkata sumber manusia seperti pelajar dan pensyarah yang ada di UMS induk dan cawangannya seperti di Sandakan dan Labuan, turut dapat membantu dan memudahkan lagi pelaksanaan program tersebut.

Shahril berkata fokus yang perlu ditekankan adalah untuk meningkatkan kemahiran penduduk di Sabah dalam bidang pengkomputeran dan memastikan mereka mengetahui perkara asas dalam perisian komputer.

Beliau berharap gandingan itu dapat diaplikasikan dalam masa terdekat dan pihak UMS telah menawarkan kepada MOSTI untuk kerjasama itu dan perbincangan awal mengenainya telah dilakukan.

Mengulas lanjut, Shahril mengingatkan peserta kembara berkenaan agar sentiasa berwaspada mengenai keselamatan siber terutama untuk kepentingan diri sendiri.

Program OPS Jelajah Siber 2.0 Edisi Sabah itu bertujuan memberi pengetahuan berkaitan kehidupan serba digital supaya masyarakat lebih peka dan bijak menangani sebarang gejala berkaitan siber di sekeliling mereka. – Bernama