UMS, UKM beri pendidikan percuma kepada kanak-kanak tanpa negara

UMS, UKM beri pendidikan percuma kepada kanak-kanak tanpa negara

KOTA KINABALU, 28 Jan – Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif memberi pendidikan percuma kepada kanak-kanak tanpa negara di sekitar bandar raya ini baru-baru ini.

Pengarah program Hasmadi Olah berkata aktiviti yang dikenali “Program Hak Asasi di Bawah Bayu” itu merupakan khidmat sosial bagi mendidik golongan berkenaan membaca, menulis dan mengira (3M), selain mendalami jiwa mereka dalam meneruskan kehidupan di negara ini.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kita telah memberi pendedahan tentang asas-asas pendidikan kepada mereka yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Selain memberi pendidikan percuma, Hasmadi berkata program berkenaan bertujuan untuk membentuk kemahiran insaniah mahasiswa dalam pengurusan sesuatu program, sekali gus mewujudkan hubungan silaturahim dalam kalangan peserta dari UMS dan UKM.

“Program berkenaan turut membuka mata mahasiswa mengenai penderitaan masyarakat tanpa negara selain kepentingan pendidikan yang harus disemai sejak daripada peringkat kanak-kanak lagi,” katanya.

Program enam hari bermula 20 Januari lepas itu disertai 49 pelajar UMS dan 40 dari UKM melibatkan kira-kira 30 kanak-kanak tanpa negara. – Bernama