UMSKAL tubuh pusat bagi kanak-kanak autisme

UMSKAL tubuh pusat bagi kanak-kanak autisme

LABUAN, 8 Jun – Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini akan menubuhkan sebuah pusat bagi kanak-kanak autisme.

Pengarahnya Prof Madya Dr Murnizam Halik berkata, penubuhan pusat itu merupakan sebahagian daripada program sosial UMSKAL untuk masyarakat.

“Kami akan tubuhkan sebuah pusat untuk kanak-kanak autisme bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti di situ.

“Kami akan sokong usaha Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM),” katanya kepada Bernama pada sidang akhbar mengenai filem berkaitan autisme, ‘Redha’, yang turut dihadiri pengarah dan pelakonnya sebelum diadakan tayangan perdana di Labuan Perdana Cineplex, minggu lepas.

Penubuhan pusat itu merupakan lanjutan kepada usaha Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS Kota Kinabalu, yang menubuhkan pusat berkenaan beberapa tahun lepas.

“Kami mendapatkan bantuan dan kepakaran daripada UMS Kota Kinabalu untuk menubuhkan pusat ini dan bagi memenuhi keperluan lain,” katanya. Dr Murnizam berkata lebih 100 kanak-kanak di Labuan mengalami autisme dan sejumlah yang lain dihantar ke prasekolah khas swasta. – Bernama