UNCAF sokong Infantino

UNCAF sokong Infantino

PANAMA CITY, 26 Jan – Usaha Gianni Infantino untuk menjadi Presiden FIFA menerima rangsangan semalam selepas Kesatuan Bolasepak Amerika Tengah (UNCAF) menyokong kempennya untuk jawatan tertinggi badan bola sepak dunia itu.

Persekutuan serantau yang mewakili tujuh undi dalam pilihan raya presiden FIFA bulan depan itu telah memilih untuk menyokong setiausaha agung UEFA berkenaan, menurut satu kenyataan UNCAF.

“Jawatankuasa Eksekutif UNCAF telah membuat keputusan untuk menyokong pencalonan Gianni Infantino,” kenyataan ringkas di laman web UNCAF menyatakan kelmarin.

Keputusan untuk menyatakan sokongan blok kepada Infantino diambil selepas mesyuarat di Panama City kelmarin.

UNCAF terdiri daripada Costa Rica, El Salvador, Honduras, Panama, Guatemala, Belize dan Nicaragua.

Gianni Infantino (kiri) dan presiden Persatuan Bolasepak Paraguay, Alejandro Dominguez (tengah) dan presiden sementara CONMEBOL, Wilmar Valdez (kanan) semasa berada di Luque, Paraguay pada 25 Januari 2016. – Reuters
Gianni Infantino (kiri) dan presiden Persatuan Bolasepak Paraguay, Alejandro Dominguez (tengah) dan presiden sementara CONMEBOL, Wilmar Valdez (kanan) semasa berada di Luque, Paraguay pada 25 Januari 2016. – Reuters

Infantino menyertai persaingan untuk menggantikan Presiden FIFA Sepp Blatter yang digantung pada 26 Februari berikutan pengharaman yang dikenakan terhadap supremo UEFA Michel Platini.

Infantino telah berikrar untuk membersihkan FIFA jika dipilih selepas berbulan lama tuduhan rasuah menjerumuskan badan bola sepak global itu ke dalam krisis yang paling teruk dalam sejarahnya.

Infantino juga merancang untuk memperkenalkan had tempoh 12 tahun bagi pegawai utama dan meningkatkan ketelusan di dalam FIFA.

Di samping itu, beliau juga mencadangkan untuk memperluaskan Piala Dunia kepada 40 pasukan dan mewujudkan sistem “giliran jelas” untuk tuan rumah kejohanan di mana setiap benua perlu menunggu sekurang-kurangnya dua edisi sebelum menjadi tuan rumah acara itu lagi. – AFP