Undang-undang keganasan NSW diperketat

Undang-undang keganasan NSW diperketat

SYDNEY, 4 Mei (Bernama) – Undang-Undang baharu yang bakal diperkenal kerajaan negeri New South Wales (NSW) pada Rabu membolehkan polis menahan dan menyoal siasat suspek pengganas sehingga 14 hari, lapor agensi berita China, Xinhua.

Suspek pengganas yang berusia semuda 14 tahun juga boleh ditahan dan disoal siasat sehingga dua minggu di bawah undang-undang itu.

Rang undang-undang itu, yang bakal dibentang di Parlimen NSW pada petang Rabu, turut membolehkan pegawai polis negeri menahan suspek dalam tempoh yang lebih lama jika “penahanan itu boleh membantu tindakan balas terhadap satu serangan pengganas atau menghalang serangan pengganas daripada berlaku.”

Perdana Menteri NSW Mike Baird berkata kerajaan negeri perlu melakukan segala yang terdaya untuk melindungi masyarakat daripada ancaman pengganas.

“Itulah yang dilakukan oleh undang-undang baharu ini, iaitu memberi kuasa kepada pihak polis menjalankan siasatan sewajarnya terhadap plot pengganas,” kata Baird.

Menteri Polis NSW, Troy Grant, berkata undang-undang baharu itu mendapat sokongan kuat pasukan polis yang melahirkan kebimbangan berikutan undang-undang sedia ada melarang soal siasat dilakukan sehingga 14 hari di bawah perintah penahanan pencegahan negeri.

“Ancaman pengganas kini lebih pantas serta tidak dapat diramal, jadi kami perlu mempunyai kuasa untuk bertindak balas dengan cepat dan berkesan,” kata Grant.

ARTIKEL YANG SAMA