Undang-undang sabit pembunuh luar negara

Undang-undang sabit pembunuh luar negara

SYDNEY, 15 Okt – Australia hari ini memperkenalkan rang undang-undang baru yang membolehkan pihak berkuasa mendakwa sesiapa sahaja yang dituduh membunuh salah seorang warganya di luar negara, langkah yang dibuat kerana kes bunuh dua dekad lalu di Negara Brunei Darussalam.

Pindaan itu bermakna pihak berkuasa Australia boleh melakukan sabitan kesalahan ke atas suspek penjenayah yang dilakukan sebelum tahun 2002 yang tidak didakwa di negara kes itu berlaku.

Kerajaan Australia mengemaskinikan kanun jenayah pada 2002 selepas pengeboman Bali untuk membolehkan jenayah luar wilayah ke atas warganya boleh didakwa oleh para penyiasat Australia.

Ini adalah hari penting bagi mangsa kes bunuh atau bunuh tanpa niat di seluruh Australia,” kata Menteri Industri, Inovasi dan Sains, Christopher Pyne (gambar) memberitahu pemberita di Canberra.

pg01_151016_c

“Hari ini juga adalah hari penting dan penuh emosi bagi keluarga Bradshaw kerana ia akan dapat mengakhiri kes pembunuhan kakak dan anak perempuan mereka,” katanya.

Anthea Bradshaw-Hall merupakan seorang guru berusia 26 tahun pada masa dia dibunuh di Brunei pada Julai 1994. Suaminya, Jeff Hall memberitahu polis, dia menemui isterinya mati di lantai pangsapuri mereka selepas dicekik dan ditikam beberapa kali.

Pasukan Polis Diraja Brunei dilaporkan berkata mereka tidak mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa suspek yang tidak didedahkan namanya.

Namun polis dari negeri South Australia, tempat tinggal keluarga Bradshaw-Hall telah melancarkan penyiasatan ke atas kematiannya pada tahun 2004, mengumpulkan bukti yang dilaporkan membabitkan seseorang, lapor akhbar Adelaide Advertiser.

Menurut Pyne, difahamkan para penyiasat akan membuka semula kes itu sebaik sahaja rang undang-undang baru yang dijangka menerima sokongan padu kerajaan, parti pembangkang dan parti kecil, diluluskan di parlimen Australia.

“Ini adalah proses lama dan berlanjutan semenjak Anthea dibunuh,” kata bapa mendiang, Martin Bradshaw memberitahu Advertiser dalam usalan yang disiarkan hari ini. “Ia tetap menghantui fikiran kami. Sebaik sahaja pindaan untuk bertindak diluluskan, bukti boleh diuji di mahkamah di South Australia. Itulah yang kami mahukan selama ini,” katanya.

Penggubal undang-undang mengatakan mereka bekerja keras untuk memastikan perlindungan hak asasi manusia dimasukkan ke dalam rang undang-undang itu dan perubahan akan menolak sebarang cabaran undang-undang.

Perlindungan ini termasuklah tidak membenarkan seorang suspek yang sudah pun dihukum di negara di mana jenayah itu dilakukan untuk didakwa semula oleh pihak berkuasa Australia.

Hukuman yang dikenakan oleh mahkamah Australia bagi jenayah juga tidak boleh melebihi hukuman yang dihadapi di negara asalnya. Pendakwaan juga perlu ditandatangani oleh peguam negara.

Pada masa yang sama, jika suspek tinggal di luar negara, proses ekstradisi biasa akan dibuat bagi membolehkan orang tersebut dibawa kembali ke Australia untuk dihadapkan ke mahkamah, kata Pyne.

Tambahnya, suspek dalam kes Bradshaw-Hall tidak menetap di Australia. – AFP