Undangan istimewa KM Sarawak

Undangan istimewa KM Sarawak

KUCHING, 16 Julai – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sekali lagi mempamerkan sikap beliau yang lebih selesa dengan suasana santai dan penuh kemesraan dalam satu klip video yang mengundang orang ramai ke rumah terbuka Aidilfitrinya.

“Datanglah ngabas saya, Iboh malu-malu, Iboh protokol gilak, Asal baju kacak jak,” katanya secara berpantun dalam dialek Melayu Sarawak.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri April tahun ini, Ketua Menteri Sarawak kelima itu berkata beliau agak kurang selesa apabila disebut sebagai “Ketua Menteri yang kami sayangi”.

Ketika menggulung perbahasan, beliau berkata: “Adalah sangat membosankan apabila seorang demi seorang yang berucap menyebut saya sebagai Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Haji Adenan Satem pada sesuatu majlis rasmi.

“Panggil saja saya CM, cukuplah. Jadi, tolonglah panggil saya CM atau Adenan saja, walaupun orang bahagian protokol mungkin tidak menyukainya.”

Adenan berkata, “tersayang” adalah istilah penghargaan yang hanya patut digunakan isteri dan keluarganya apabila merujuk kepada beliau.

“Panggilan ‘tersayang’ terhadap saya hanya khusus untuk isteri, anak dan cucu saya sahaja. Saya berasa malu jika dipanggil ‘tersayang’,” katanya.

Adenan juga menasihati masyarakat peniaga, orang ramai dan parti politik supaya tidak menyiarkan ucapan tahniah kepada beliau dalam akhbar kerana berpendapat wang untuk tujuan itu lebih baik dibelanjakan untuk kerja amal.

Majlis rumah terbuka Aidilfitri Adenan akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching (BCCK) pada hari raya pertama dan kedua, dari 10.30 pagi hingga 4.30 petang.

Untuk kemudahan mereka yang tidak memiliki kenderaan, khidmat bas ulang alik percuma akan disediakan dari bangunan dewan undangan negeri lama dan Masjid Daerah Kuching ke BCCK. – Bernama