Under Armour taja kelengkapan sukan

Under Armour taja kelengkapan sukan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Lebih lima buah pasukan bola keranjang veteran tempatan telah mengesahkan penyertaan untuk merebut gelaran juara dalam Kejohanan Bola Keranjang Piala Veteran Concepts 2016, yang dijadualkan bermula pada 15 Oktober nanti di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam (BBA), Batu Bersurat, Gadong.

Sehubungan itu, satu majlis penyerahan tajaan dalam kejohanan tersebut telah diadakan hari ini di Concepts Computer, di mana kali ini penaja tempatan, Under Armour akan bekerjasama dengan pihak penganjur bagi menghulurkan sumbangan tajaan berupa kasut bagi pemain pasukan Concepts Computer.

Tajaan diserahkan oleh Pengurus Under Armour Brunei, Huu Lim kepada Pengurus Pasukan Concepts, Vincent Pao. Turut hadir semasa penyerahan tajaan berkenaan ialah Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam (BBA), Lim Ting Guan dan pemain-pemain bagi pasukan Concepts.

Juara bertahan pasukan Concepts Computer mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan itu dengan hasrat untuk mempertahankan kejuaraan mereka. Pasukan tersebut masih mengekalkan sebilangan besar pemain-pemain daripada pasukan yang menjuarai kejohanan pada tahun lalu serta memasukkan beberapa orang pemain baru untuk memantapkan lagi pasukan berkenaan.

Selain itu, Kumpulan Syarikat Concepts turut menurunkan sebuah lagi pasukan, Concepts Technologies untuk turut serta bertanding dalam kejohanan berkenaan.

Vincent Pao, Huu Lim dan Lim Ting Guan bersama-sama beberapa orang pemain pasukan-pasukan Concepts menunjukkan kasut Curry 2.5 oleh Under Armour yang bakal digunakan semasa Kejohanan Bola Keranjang Piala Veteran Concepts 2016 nanti.
Vincent Pao, Huu Lim dan Lim Ting Guan bersama-sama beberapa orang pemain pasukan-pasukan Concepts menunjukkan kasut Curry 2.5 oleh Under Armour yang bakal digunakan semasa Kejohanan Bola Keranjang Piala Veteran Concepts 2016 nanti.

Menurut Huu Lim, kerjasama dengan Concepts dan BBA itu merupakan salah satu usaha bagi Under Armour Brunei untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat dan aktif menerusi sukan selaras dengan hasrat negara supaya rakyat dan penduduk negara terus mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Sementara itu, Vincent Pao menyatakan bahawa Concepts akan menurunkan dua buah pasukan dalam kejohanan itu, dimana pasukan-pasukannya dibarisi oleh pemain-pemain yang berpengalaman serta berharap untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada kejohanan tahun lalu.

Kejohanan Piala Veteran Concepts 2016 kembali menemui peminat sukan bola keranjang tempatan untuk tahun kedua anjuran BBA, sekali lagi mendapat sokongan dan tajaan daripada Concepts Computer.

Ia merupakan inisiatif tahunan persatuan itu untuk mempromosikan gaya hidup yang sihat bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas serta dan dibukakan kepada pasukan-pasukan yang dianggotai oleh pemain-pemain veteran yang berusia 40 tahun ke atas dalam kalangan warganegara dan penduduk tetap Brunei serta warga asing yang mempunyai kad pengenalan Negara Brunei Darussalam yang sah.

Pasukan-pasukan yang berminat untuk menyertai kejohanan berkenaan masih boleh menghantar penyertaan mereka ke Pejabat BBA di mana tarikh tutup bagi menyertai kejohanan berkenaan ialah 10 Oktober nanti.

Di samping itu, pihak penganjur mengalu-alukan orang ramai untuk hadir bagi menyaksikan dan memberikan sokongan kepada para pasukan yang bakal beraksi dalam kejohanan yang akan diadakan di gelanggang bola keranjang BBA di mana kemasukan adalah percuma.

ARTIKEL YANG SAMA