Undi protes akhiri Kongres AFC

Undi protes akhiri Kongres AFC

PANAJI, India, 27 Sept – Kongres bola sepak Asia untuk memilih perwakilan dalam Majlis FIFA ditutup selepas 20 minit hari ini apabila beberapa orang anggota menolak agenda dalam satu protes terhadap seorang pegawai Qatar yang dihalang daripada mengundi.

Seramai 42 ahli menyokong berbanding satu menentang agenda itu pada satu mesyuarat di Goa, India, yang bermakna undian untuk memilih tiga ahli baru dalam badan induk majlis berkuasa itu dibatalkan.

Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa berkata ia ‘mungkin kongres paling singkat’ yang pernah dipengerusikannya.

“Ia adalah pagi yang penuh dengan peristiwa dan mesej jelas kepada kami semua. Sekarang tugasan akhir saya untuk mengisytiharkan kongres ditutup,” kata Presiden dari Bahrain itu sebelum menuju ke jawatankuasa eksekutif AFC.

Para delegasi berkata agenda ditolak kerana seorang pegawai kanan dari Qatar diharamkan daripada bertanding hanya 24 jam sebelum undian diadakan.

Anggota AFC memegang kad undi bertulis ‘NO’ semasa Kongres Luar Biasa AFC di Goa, kelmarin. – AFP

Jawatankuasa etika FIFA yang dibelenggu skandal bulan lalu mencadangkan penggantungan selama dua tahun setengah bagi naib presiden Persekutuan Bola Sepak Qatar Saoud-Al-Mohannadi kerana enggan bekerjasama dengan penyiasat rasuah.

Mohannadi menafikan sebarang salah laku dan pada awalnya dibenarkan untuk bertanding sebelum AFC mengumumkan lewat Ahad lalu bahawa dia diketepikan oleh FIFA.

FIFA tidak mendedahkan tumpuan siasatan rasuah itu tetapi bukan berhubung dengan dakwaan Piala Dunia 2022 yang dihoskan oleh Qatar.

Kegagalan hari ini disaksikan oleh presiden FIFA, Gianni Infantino, yang menewaskan Sheikh Salman pada pilihan raya Februari lalu dan berada di Goa untuk menghadiri kongres berkenaan. – AFP