Undian petak gerai Ramadan dimulakan

Undian petak gerai Ramadan dimulakan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Jun – Kedatangan bulan Ramadan kira-kira dua minggu lagi bukan sahaja menjanjikan pahala berlipat ganda kepada umat Islam yang mengerjakan amal namun merupakan pintu rezeki kepada para peniaga dan penjaja.

Di negara ini, kemudahan-kemudahan untuk berjaja dalam bulan Ramadan sangat diberikan keutamaan oleh pihak-pihak yang berkenaan dengan menyediakan tempat khusus bagi para penjaja menjalankan perniagaan mereka di sepanjang bulan berkenaan.

Sehubungan itu, Bahagian Pelesenan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah mengadakan undian bagi menentukan petak gerai para penjaja di gerai Ramadan nanti, di jabatan itu, hari ini.

Menurut jabatan itu, tahun ini mereka telah menerima sebanyak 194 permohonan untuk menyertai gerai jualan di kawasan Bangunan Tudung Saji Jalan Setia Diraja, Kuala Belait manakala 34 permohonan lagi di kawasan perkarangan Pasar Neka Seria.

Pegawai Bahagian Melesen, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria memerhatikan acara undian petak bagi penjaja-penjaja yang membuat permohonan.
Pegawai Bahagian Melesen, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria memerhatikan acara undian petak bagi penjaja-penjaja yang membuat permohonan.

Seperti tahun-tahun yang sudah jabatan tersebut telah membahagikan gerai Ramadan kepada beberapa kategori seperti jualan makanan siap sedia, menyalai/membakar, buah-buahan, jualan runcit dan bunga-bungaan.

Gerai Ramadan akan mula beroperasi mulai 2 petang hingga 6 petang sepanjang bulan suci itu, dan jabatan itu juga mengalu-alukan orang ramai agar berkunjung dan membeli juadah berbuka puasa semasa ia beroperasi nanti.

Di samping itu, jabatan turut mengingatkan kepada orang ramai terutama peniaga-peniaga di gerai tersebut untuk sentiasa menjaga kebersihan persekitaran, dan membuang sampah sarap di tempat yang telah disediakan, selain menyediakan makanan yang bersih dan sihat.

ARTIKEL YANG SAMA