Unggas, kupu-kupu turut terkesan dengan fenomena El Nino

Unggas, kupu-kupu turut terkesan dengan fenomena El Nino

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Kesan cuaca panas akibat El Nino yang melanda negara kini bukan sahaja dirasai oleh manusia, tetapi unggas dan kupu-kupu di taman sekitar ibu kota turut menerima bahangnya.

Pegawai Veterinar Taman Burung Kuala Lumpur Dr Kartini Ahmad berkata burung mudah terdedah terhadap tegasan haba, justeru pemantauan rapi termasuk melakukan sedikit perubahan terhadap rutin penjagaan perlu bagi memastikan kesemua unggas dan kupu-kupu di taman itu tidak terjejas.

Bagi mengelak burung dalam taman itu mengalami tegasan haba, penyesuaian dibuat terhadap air minuman selain bekas mandian tambahan disediakan untuk keselesaan kira-kira 3,000 ekor burung daripada 200 spesies yang terdapat di taman itu.

“Burung-burung akan diberi campuran vitamin dan elektrolit dalam air minuman mereka setiap dua hari sekali untuk rawatan mengurangkan kadar tegasan haba pada burung berkenaan.

“Selain itu, bekas tambahan untuk mandian burung turut disediakan di dalam sangkar agar burung-burung dapat mandi dan menyejukkan badannya sekiranya terasa panas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurut Dr Kartini, bagi kawasan burung yang terbang bebas pula, pokok-pokok dibiarkan tumbuh merimbun dan tiada pemotongan dahan pokok dilakukan untuk memberikan lebih banyak tempat teduhan, di samping dapat mengurangkan kenaikan suhu di kawasan aviari terbang bebas serta dalam sangkar. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA