Ungkap ‘Alhamdulillah’ tanda kesyukuran

Ungkap ‘Alhamdulillah’ tanda kesyukuran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Dalam menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1437H/2015M, Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, telah mengadakan Majlis Ceramah Khas yang berlangsung di Dewan Teater, bangunan kementerian berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri Kewangan II, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah. Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Perbekalan dan Stor Negara, Pengiran Haji Aliidin Ansari bin Pengiran Haji Jaafar.

Ceramah khas pada majlis tersebut telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid dengan tajuknya ‘Jiwa-Jiwa yang dididik Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam’.

Beliau dalam ceramahnya menyeru umat Islam untuk sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada penciptaNya.

Menurut beliau lagi, laungan “Alhamdulillah Syukur kepada Mu Ya Allah” merupakan lafaz yang terbaik untuk diungkapkan oleh umat Islam sebagai tanda bersyukur di atas pemberian nikmat yang dianugerahkan.

Dato Paduka Haji Hisham semasa hadir pada majlis itu.
Dato Paduka Haji Hisham semasa hadir pada majlis itu.
Awang Muhammad Yussof semasa menyampaikan ceramah pada majlis berkenaan.
Awang Muhammad Yussof semasa menyampaikan ceramah pada majlis berkenaan.

“Allah Subhanahu Wa Ta’ala melimpahkan ke dalam diri kita, Islam dan Iman. Sesungguhnya iman tidak akan sentiasa menjamin kita bertambah harta dan tertawa, tetapi iman jika sentiasa dititikkan di dalam hati kita, ia akan menjadikan kita sebagai seorang hamba yang sentiasa merasakan belai kasih daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.”

Awang Muhammad Yussof juga menjelaskan, salah satu nikmat Allah S.W.T adalah menyampaikan salam dan cinta kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Beliau menyatakan lagi bahawa umat Islam pada masa ini masih mempunyai peluang untuk bersama dengan Nabi Muhammad S.A.W di dalam syurgaNya dengan memupuk rasa cinta terhadap Baginda.

Majlis anjuran Jabatan Perbekalan dan Stor Negara itu turut diserikan dengan Dikir Marhaban oleh pasukan dikir Kementerian Kewangan.

Majlis merupakan salah satu aktiviti tahunan kelolaan kementerian berkenaan yang bertujuan untuk memperingati dan menyemarakkan lagi sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan di kementerian tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA