UNICEF sediakan AS$7.2 juta bagi program bantuan di Laos

VIENTIANE, 19 Mac – Dana Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah menyediakan AS$7.2 juta bagi kegunaan dalam kesihatan, pemakanan, dan program Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) di kawasan-kawasan pedalaman di Laos.

Majlis penandatangan bagi program berkenaan telah diadakan di ibu negeri Vientiane di antara Menteri Kesihatan, Bounkong Syhavong dan Perwakilan Negara UNICEF ke Laos, Hongwei Gao dalam kehadiran pegawai-pegawai berkaitan daripada kedua-dua belah pihak.

“Kerjasama di antara UNICEF dan Kementerian Kesihatan akan memastikan bahawa kanak-kanak dan keluarga-keluarga mereka yang serba kekurangan akan menerima perkhid-matan yang sepatutnya, di mana mereka akan memiliki akses saksama dalam menggunakan sumber-sumber air mapan dan kemudahan-kemudahan sanitasi serta mengguna pakai amalan kebersihan,” kata Gao.

Dia berkata kerjasama itu akan mengukuhkan sistem-sistem kesihatan daerah untuk memastikan pelaksanaan pakej perkhidmatan penting bersama kesinambungan pendekatan penjagaan dan menyokong pelaksanaan campur tangan pemakanan tertentu termasuk memberi makan kepada anak-anak damit dan kanak-kanak.

Program WASH akan dilaksanakan di sekolah-sekolah terpilih dan komuniti-komuniti dan akan termasuk campur tangan perubahan tingkah laku terhadap kemudahan-kemudahan WASH, amalan-amalan kebersihan dan pengurangan risiko bencana. Komuniti masyakat daya tahan akan dibina untuk bertindak balas terhadap perubahan iklim dan bencana-bencana alam. – NNN