Unik tukang jahit alam maya

Unik tukang jahit alam maya

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Jika difikirkan sekali lalu, sukar digambarkan bagaimana seorang tukang jahit boleh menyiapkan pakaian yang ditempah pelanggan menerusi alam maya atau dalam talian.

Namun kini sudah terdapat ramai tukang jahit yang menawarkan perkhidmatan mereka menerusi blog, Facebook dan Instagram serta mendapat tempahan menggalakkan.

Seorang daripada mereka ialah Nor Firza Zainol, 47, yang mengambil tempahan  secara dalam talian sudah hampir 10 tahun, yang pertama kali mencuba setelah melihat kejayaan rakan-rakannya.

“Melalui blog saya (tempahbaju.wordpress.com/2011/03/05/tempahan-baju-wanita-sepanjang-tahun), saya menyenaraikan pelbagai rekaan baju berserta harga yang ditawarkan bagi rujukan pelanggan.

“Bagi saiz baju, pelanggan hanya perlu menghantar menerusi pos baju contoh atau memaklumkannya kepada saya melalui WhatsApp,” katanya kepada Bernama.

Berbanding dengan tempahan alam maya atau dalam talian, tukang jahit, Hasniza Husin yang berasal dari Johor pula menyiapkan tempahan baju raya kanak-kanak di kedainya di Kompleks Medan Mara di Kuala Lumpur. – Bernama
Berbanding dengan tempahan alam maya atau dalam talian, tukang jahit, Hasniza Husin yang berasal dari Johor pula menyiapkan tempahan baju raya kanak-kanak di kedainya di Kompleks Medan Mara di Kuala Lumpur. – Bernama

Ibu kepada tiga orang anak ini mempunyai ramai pelanggan dari Lembah Klang dan negeri lain.

Mengenai pengalaman berurus niaga secara dalam talian, Nor Firza berkata beliau pernah ditipu pelanggan yang hanya memasukkan wang deposit ke dalam akaun banknya tetapi tidak melangsaikan baki sepatutnya.

“Saya menghubungi pelanggan terbabit, namun lama-kelamaan mereka sekat saya daripada Facebook dan WhatsApp,” katanya.

Untuk tempahan Aidilfitri ini, beliau yang tidak mempunyai pembantu berkata beliau telah menghentikan tempahan sejak Mei lepas, bimbang tidak dapat menyiapkan tempahan pelanggan.

“Alhamdulillah pendapatan saya meningkat. Tahun lepas saya terima 50 tempahan dan dapat lebih RM5,000, manakala tahun ini saya terima lebih 70 tempahan,” katanya yang mengenakan bayaran antara RM30 hingga RM45 bagi sepasang baju kurung.

Bagi Nor Zainina Zainal Abidin pula, beliau memulakan perniagaan dalam talian sejak tiga tahun lepas selepas melihat kejayaan ibu saudaranya yang menerima banyak tempahan menjahit sama ada pada musim perayaan atau pada hari biasa.

Wanita berusia 32 tahun ini tidak pernah menyangka mengambil tempahan secara dalam talian mampu mendatangkan pendapatan lumayan serta mendapat pelanggan berulang. – Bernama