UNISSA akan hos KAIB VIII

UNISSA akan hos KAIB VIII

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bakal menjadi tuan rumah bagi Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-8 (KAIB VIII) dengan tema ‘Melestari Dakwah dan Tamadun Islam di Borneo’ pada 2 dan 3 September ini.

Dekan Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, UNISSA, Dr Siti Sara binti Haji Ahmad, semasa sidang media di UNISSA, kelmarin, berkata persidangan anjuran bersama UNISSA, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Universiti Teknologi Mara, Samarahan, Sarawak dan Universiti Teknologi Mara, Sabah, Malaysia, itu berobjektif untuk mengumpul bahan atau karya ilmiah berkaitan dengan dakwah dan tamadun Islam di Borneo untuk menjadi rujukan pada masa hadapan.

Selain itu, ia juga menyediakan wadah diskusi mengenai perkara berkaitan dengan dakwah Islamiah serta isu lain berkaitan dengan Islam di Borneo serta mengumpulkan hasil tulisan berkaitan dengan manuskrip Nusantara khususnya di kepulauan Borneo.

Beliau seterusnya memberitahu, di samping kertas perdana pada hari perasmian itu nanti, beberapa sub tema dijadikan bahan perbincangan dalam usaha memperbanyakkan dan meluaskan perbincangan dalam bidang keilmuan di Kepulauan Borneo ini.

“Antara sub tema tersebut ialah sejarah ketibaan dan penyebaran Islam di Borneo, penyebaran ilmu islam di Borneo, tokoh-tokoh Ilmuan Islam Borneo, tulisan jawi, manuskrip Melayu, ekonomi Islam, sistem persekolahan dan lain-lain hal yang berkaitan dengan pembangunan umat Islam di kepulauan Borneo,” jelasnya lagi.

Dr Siti Sara, Dr Hajah Sarinah dan Haji Abdul Aziz semasa sidang media mengenai persidangan berkenaan di UNISSA.
Dr Siti Sara, Dr Hajah Sarinah dan Haji Abdul Aziz semasa sidang media mengenai persidangan berkenaan di UNISSA.

Dijangka berangkat ke majlis perasmiannya nanti, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Dekan Fakulti Usuluddin, UNISSA, Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya pula menjelaskan, kertas-kertas kerja akan disampaikan dalam Bahasa Melayu, Arab dan Inggeris.

Sebanyak enam kertas kerja ucaptama akan dibentangkan oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing dari dalam dan luar negara dan satu kertas perdana mengenai tajuk tema persidangan tahun ini akan disampaikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Di samping itu, kira-kira 129 kertas kerja juga telah diterima oleh pihak penganjur yang mana kertas kerja ini adalah daripada pelbagai pihak di beberapa organisasi dalam dan luar negara, tambah beliau lagi.

Manakala itu, Pemangku Penolong Pengarah, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Abdul Aziz bin Kahar berkata dengan adanya persidangan ini diharap akan dapat menambah ilmu pengetahuan dari segi dakwah.

Menurutnya, ia merupakan salah satu peluang kepada mereka yang benar-benar minat berdakwah kerana cara metodologi atau cara berdakwah itu terurus mengikut Sunah Rasulullah S.A.W dan perkembangan semasa.

Beliau seterusnya berkata, jika dilihat daripada tajuk-tajuk kertas kerja, persidangan ini memberi peluang kepada peserta untuk berbincang dengan para ilmuwan untuk menambah dan memantapkan lagi dakwah di Brunei dengan matlamat merealisasikan Negara Zikir.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menghadiri persidangan ini, bayaran pendaftaran bagi ahli akademik, kakitangan kerajaan dan swasta masing-masing adalah $100 dan $50 bagi orang awam serta 20 bagi mahasiswa-mahasiswi.

Pembayaran bagi pendaftaran dibuka sepanjang hari seminar dan yang berhajat untuk menghadiri persidangan berkenaan dinasihatkan untuk membuat pembayaran pada hari pertama seminar (2 September) sebelum majlis perasmian.

Untuk keterangan lanjut mengenai pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Dayang Radzilah binti Haji Abdullah di talian 7149169 atau Dayangku Alinah binti Pengiran Haji Ali di talian 8284700.

ARTIKEL YANG SAMA