UNISSA anjur kempen basmi virus Zika

UNISSA anjur kempen basmi virus Zika

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Berikutan dengan jangkitan virus Zika yang berlaku di beberapa buah negara jiran, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Kempen Membasmi Virus Zika di persekitaran kampus dan kolej kediaman UNISSA, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang diterima di sini, hari ini, kempen yang disertai lebih 200 orang itu, turut dihadiri oleh Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Penolong Rektor, Dr. Arman bin Haji Asmad, dan para pegawai utama serta mahasiswa-mahasiswi UNISSA.

Majlis dimulakan dengan taklimat mengenai ancaman jangkitan virus Zika yang disampaikan oleh Pegawai Bahagian Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr. Nay Lin Htike.

Mahasiswa UNISSA ketika sedang bergotong-royong membersihkan kawasan Kolej UNISSA.
Mahasiswa UNISSA ketika sedang bergotong-royong membersihkan kawasan Kolej UNISSA.

pg07_160919_c

Pelajar UNISSA sedang membersihkan longkang yang tersumbat di kawasan Kolej UNISSA.
Pelajar UNISSA sedang membersihkan longkang yang tersumbat di kawasan Kolej UNISSA.

Dr. Nay Lin Htike dalam taklimatnya, menyeru agar semua warga UNISSA sentiasa berwaspada dengan jangkitan virus Zika, dengan memastikan persekitaran dalam keadaan bersih dan bebas daripada sampah yang boleh menyebabkan berlakunya takungan air dan menjadi kawasan baru untuk nyamuk membiak lebih banyak.

Beliau juga mengingatkan bahawa mencegah jangkitan penyakit itu adalah lebih baik daripada mengubati.

Antara tujuan kempen itu diadakan adalah untuk menggalakkan warga UNISSA agar dapat mempertingkatkan lagi kesedaran dan menanamkan sifat-sifat cintakan keindahan dan kebersihan alam persekitaran serta memelihara dan melindungi alam sekitar.