UNISSA anjur majlis khatam Al-Quran, doa kesyukuran

UNISSA anjur majlis khatam Al-Quran, doa kesyukuran

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Okt – Bersempena dengan Hafl Al-Taharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ke-6, Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran bagi bakal-bakal graduan telah diadakan di Dewan Auditorium UNISSA, petang tadi.

Seramai 103 orang bakal graduan UNISSA menyertai majlis tersebut, yang terdiri daripada 44 orang mahasiswa dan 59 orang mahasiswi dari Program Sarjana Muda, Diploma Tertinggi Kebangsaan Dirasat Islamiyyah dan Barnamij Tarqiyyah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman selaku wakil peribadi Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis diikuti dengan bacaan surah-surah oleh semua bakal graduan bermula surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas.

Seterusnya, majlis diikuti dengan bacaan Takhtim oleh mahasiswa universiti berkenaan dan disudahi dengan bacaan Doa Khatam oleh Graduan Program Sarjana Muda Syariah Fiqh dan Usul, Awang Mohammad Dini bin Haji Morsidi.

Tetamu kehormat Dr. Haji Junaidi selaku wakil Peribadi Menteri Pendidikan.
Tetamu kehormat Dr. Haji Junaidi selaku wakil Peribadi Menteri Pendidikan.
Seramai 103 bakal graduan UNISSA menyertai majlis khatam dan doa kesyukuran terdiri daripada 44 mahasiswa dan 59 mahasiswi dari Program Sarjana Muda, Diploma Tertinggi Kebangsaan Dirasat Islamiyyah dan Barnamij Tarqiyyah.
Seramai 103 bakal graduan UNISSA menyertai majlis khatam dan doa kesyukuran terdiri daripada 44 mahasiswa dan 59 mahasiswi dari Program Sarjana Muda, Diploma Tertinggi Kebangsaan Dirasat Islamiyyah dan Barnamij Tarqiyyah.

Acara juga diteruskan dengan penyerahan sijil Khatam Al-Quran kepada para graduan yang diraikan oleh tetamu diiringi dengan Dikir Marhaban.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena para graduan telah menamatkan pengajian mereka di UNISSA oleh Graduan Program Sarjana Muda Usuluddin (Akidah dan Dakwah), Awang Norasirin bin Haji Puting.

Tujuan majlis ini adalah untuk menanamkan dan menyuburkan budaya pembacaan Al-Quran dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi sama ada secara berseorangan atau berkumpulan.

Aktiviti seumpama ini juga akan melahirkan perasaan mencintai Al-Quran melalui penghayatan serta mengamalkan ajaran-ajarannya sebagai amalan harian khususnya selaku warga UNISSA.

Selain itu, ia juga adalah bagi menzahirkan rasa kesyukuran setelah mengikut pengajian di UNISSA di samping menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, serta mengamalkan penghayatan terhadap falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB).

ARTIKEL YANG SAMA